tnb
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) diberi taklimat oleh Head Grid System Operator, Ir. Shanmugam Thoppalan (kiri), mengenai operasi TNB di Bilik Kawalan Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional (National Load Dispatch Centre atau NLDC) Selasa lalu. Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (kanan). - Gambar TNB

MENTERI Tenaga dan Sumber Asli yang baharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengadakan lawatan kerja ke Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan menyatakan kesediaannya untuk bersama-sama kepimpinan utiliti itu menyempurnakan amanah demi kepentingan rakyat dan negara.

Komitmen itu tepat pada masanya ketika TNB sedang dalam rundingan dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memuktamadkan cadangan Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) untuk dilaksanakan mulai tahun depan.

“Saya amat bangga dan cukup berpuas hati dengan penerangan, penjelasan ‘way forward’ yang telah disampaikan kepada saya. Kita boleh menilai betapa besarnya sumbangan industri tenaga ini kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam lawatan kerjanya yang pertama ke Ibu Pejabat TNB di Bangsar, baru-baru ini.

Terdahulu beliau mendengar penjelasan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din mengenai prestasi, sumbangan dan cabaran dihadapi TNB diikuti taklimat cadangan RP3 oleh Chief Regulatory & Stakeholder Management Officer, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Tempoh tiga tahun RP3 dijadualkan bermula pada 1 Januari 2022 berikutan tempoh RP2 dilanjutkan setahun sehingga 31 Disember 2021 susulan pandemik COVID-19.

Pelaksanaan RP3 dijangka membolehkan TNB mengukuhkan peranan dalam Pelan Pemulihan Negara termasuk dalam aspek kajian tarif dan pelaburan modal bagi tempoh tiga tahun akan datang, sejajar memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

Takiyuddin yang menyifatkan TNB sebagai jantung negara dalam industri tenaga, memberi jaminan untuk bersama-sama TNB mencari penyelesaian terbaik dalam menyeimbangkan kehendak industri di samping menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“TNB mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Dalam masa yang sama, TNB perlu menyeimbangkan perancangan aspek- aspek tertentu supaya kekal memberikan sumbangan dan juga memenuhi kehendak industri.

“Saya akan sentiasa komited untuk memastikan keseimbangan ini. Saya akan bersama-sama dengan kepimpinan TNB untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan antara kedua-dua tanggungjawab ini,” katanya.

Dalam lawatan selama lebih tiga jam itu, beliau turut didedahkan dengan operasi sistem grid dan pemantauan bekalan elektrik 24 jam yang berdaya harap kepada lebih 9 juta pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Baharin dalam ucapannya berkata, bermula sebagai agensi yang melaksanakan tanggungjawab memberi keperluan asas sahaja, iaitu membekalkan tenaga elektrik, TNB menjadi agensi yang menggerakkan kemajuan negara, dan berpotensi menjadi pelopor kepada pembangunan ekonomi baru negara.

“Sepanjang pandemik ini pula, TNB telah membantu kerajaan dengan pemberian diskaun bil elektrik berjumlah RM313 juta untuk tahun 2020 dan 2021 kepada rakyat, selain bantuan menerusi pelbagai inisiatif lain seperti program Bakul Prihatin Negara (RM2 juta),” katanya.

Beliau berkata, TNB juga berbangga dapat berbakti kepada rakyat dan negara antaranya melalui aktiviti tanggungjawab sosialnya, program pembangunan vendor dan lain-lain yang berjumlah RM21 bilion bagi tempoh Januari 2018 hingga 31 Ogos 2021.

Jelas Baharin, TNB turut melakukan inisiatif tersendiri bagi membantu golongan yang terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik melalui Tabung Warga TNB Prihatin yang berjaya meraih sumbangan hampir RM3.3 juta yang telah membantu 5,729 penerima setakat ini. – UtusanTV