PENGERUSI TNB, DATUK SERI HASAN ARIFIN

TENAGA Nasional Berhad (TNB) akan terus menyeimbangkan kepentingan industri dan peranannya sebagai syarikat tersenarai yang memberikan pulangan setimpal kepada rakyat menerusi institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kata Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin.

Beliau merujuk keupayaan TNB memberikan pulangan dividen yang adil dan berpatutan kepada para pelabur termasuk GLIC, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional.

“Kita bertanggungjawab kepada para pemegang saham, lebih-lebih lagi kepada instituisiinstitusi pelabur yang pulangan kepada mereka akhirnya dinikmati oleh rakyat.

“Bagi 2018 hingga 2020, TNB telah membayar dividen berjumlah RM9.9 billion kepada para pemegang sahamnya dan RM7 billion lagi kepada GLIC. Ini satu jumlah besar dan besar manfaatnya kepada rakyat,” katanya dalam pertemuan pertamanya dengan barisan pengurusan tertinggi TNB, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau dilantik menjadi pengerusi TNB pada 1 Oktober menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.

BERITA BERKAITAN Hasan Arifin dilantik Pengerusi TNB

Dalam pertemuan itu Hasan diberikan taklimat oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din mengenai prestasi TNB merangkumi pencapaian sepanjang lebih 72 tahun, pelaksanaan aspirasi Reimagining TNB, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR),komitmen hala tuju kelestarian dan cabaran pandemik serta cabaran-cabaran baru masa depan.

Hasan yang berpuas hati dengan peranan dan sumbangan TNB terhadap pembangungan negara, yakin kecemerlangan itu mampu diteruskan dengan Malaysia kini mempunyai infrastruktur bertaraf dunia hasil daripada pelaburan modal sistem perbekalan elektrik yang berterusan.

Menurutnya, pada masa yang sama TNB akan terus mendukung pertumbuhan dan usaha pemulihan ekonomi negara menerusi perbekalan elektrik berdaya harap, mencorak semula ekonomi melalui inisiatif transformasi industri tenaga dan membantu golongan sasaran yang memerlukan.

“Dalam senario ekonomi Malaysia yang masih dalam fasa pemulihan daripada cabaran wabak Covid-19, TNB perlu teguh dari segi kewangan bagi meneruskan usaha ini. Saya dimaklumkan TNB merupakan antara pihak swasta terawal tampil membantu kerajaan menangani Covid19 dan menyumbang sejumlah RM21 bilion (2018-2020) kepada ekonomi dalam pelbagai bentuk termasuk dividen, kontrak kepada vendor, cukai, zakat, CSR dan bantuan Covid-19,” katanya.

Justeru, katanya, kedudukan kewangan TNB perlu kekal kukuh untuk membantu usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara dan memberikan pulangan yang setimpal kepada para pemegang sahamnya. – UtusanTV