PERBUATAN menipu bakal bapa mertua sendiri akhirnya membawa padah apabila seorang peniaga dalam talian dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu, hari ini.
Tertuduh, Shah Jahan Sazali, 36, yang didakwa atas enam pertuduhan menipu seorang imam masjid antara 9 Ogos hingga 12 September lalu yang menyebabkannya kerugian berpuluh ribu ringgit.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa menipu mangsa yang juga bakal bapa mentuanya, Mad Rozali Botok, 65, kononnya menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM24,200.
Shah Jahan mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani melalui perbuatan yang dilakukan di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian.
Menurut laporan Harian Metro Online, Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Nor Nadhirah Ismail.
Mahkamah menjatuhkan hukuman masing-masing penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan. Hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh jatuh hukuman.
Dalam prosiding berasingan, Shah Jahan mengaku bersalah terhadap tujuh lagi pertuduhan membabitkan kes penipuan terhadap mangsa yang sama dan seorang lagi mangsa lain di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam tertuduh didakwa memperdaya Mad Rozali dengan mendakwa menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM16,000.
Perbuatan itu dilakukan antara 28 Jun hingga 5 September lalu di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian
Sementara itu, dalam satu lagi pertuduhan Shah Jahan didakwa memperdayakan pesara guru, Husin Md Ali, 74, yang menyerahkan sebuah kereta jenis Proton Waja untuk dibaiki.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ariyani Mohd Amin.

