SEJAK pagi tadi, media sosial ‘digemparkan’ dengan penularan beberapa keping gambar memaparkan kenderaan BMW M3 G80 dan X3 dilengkapi logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Gambar-gambar itu meraih perhatian ramai yang teruja dengan kenderaan baharu digunakan PDRM itu.
Orang ramai mula membuat spekulasi bahawa kenderaan yang turut diletakkan kod ‘CPP 01’ itu bakal menjadi antara kenderaan rasmi PDRM.
Kod CPP 01 biasanya merujuk kepada Cawangan Pengawal Pengiring bagi mengiringi pemimpin tertinggi negara.
Namun begitu, sehingga malam ini, PDRM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
Beberapa portal berita kenderaan turut berkongsi gambar dan video model tersebut berserta beberapa lagi model antaranya BMW X3 dan Volkswagen Tiguan.
Baca artikel berkaitan: PDRM sahkan usaha bawa pulang Sajjad sedang giat dilakukan
Namun begitu, terdapat juga spekulasi mengatakan kesemua kenderaan yang tular itu hanya semata-mata untuk penggambaran filem.

Jun tahun lalu, PDRM telah menerima 425 kereta peronda baharu model Honda Civic 1.8 untuk tugasan rondaan.
Kenderaan tersebut dilengkapi peralatan sokongan seperti perlatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka dan perakam video digital mudah alih.
Ia disewa secara konsesi dengan syarikat Spanco Sdn. Bhd. selama lima tahun melalui peruntukan mengurus 2020.
PDRM juga menerima 850 lagi kenderaan peronda, meliputi 197 model Proton X70 1.8 dan 653 model Honda Civic 1.8, bagi tujuan penggantian kenderaan sedia ada bermula Julai hingga September tahun lalu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

