SETELAH sekian lama menanti, orang ramai dijangka akan 'menyerbu' lebuh raya untuk perjalanan pulang ke kampung atau bercuti. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEJAK beberapa hari lepas, rakyat Malaysia ternanti-nanti pengumuman mengenai pembukaan sempadan negeri-negeri berikutan janji kerajaan sebelum ini yang perkara itu akan dilaksanakan sebaik sahaja kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

Setakat tengah hari semalam, kadar tersebut telah berada pada 89.7 peratus, jumlah yang sangat hampir dan dijangka angka keramat 90 peratus telah dicapai tengah hari tadi dan kandungan sidang akhbar khas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini juga dijangka berkaitan perkara tersebut.

Sehubungan tu, syarikat-syarikat pengendali lebuh raya di negara ini telah bersiap sedia menghadapi kebanjiran trafik luar biasa selepas sekian lama sekatan merentas negeri dilaksanakan akibat penularan pandemik COVID-19.

Syarikat konsesi lebuh raya, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) Sdn. Bhd. menjangkakan pertambahan trafik antara 38,000 sehingga 45,000 kenderaan sehari apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan sedikit masa lagi.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2, Suhaimi Saat, berkata selepas sekian lama berdepan sekatan akibat penularan pandemik COVID-19, orang ramai pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman atau melancong bagi melepaskan tekanan.

Sehubungan itu pihaknya telah melakukan persiapan rapi merangkumi aspek keselamatan dan kemudahan bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman perjalanan yang selesa sekali gus tiba dengan selamat ke destinasi masing-masing.

“Pasukan penyelenggaraan dan kakitangan perkhidmatan pelanggan yang ditempatkan di laluan tertentu di sepanjang 184 kilometer lebuh raya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Malah semua kemudahan awam di kawasan lima Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah LPT 2 sentiasa dibersihkan mengikut jadual yang ketat untuk menjamin keselesaan pengguna dan ia adalah sebahagian komitmen jangka panjang LPT 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi berkata bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna, pihaknya juga menjalin kerjasama dengan pasukan trafik Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi tujuan penguatkuasaan di sepanjang lebuh raya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pengguna supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 ketika berada di kawasan R&R dan hentian sebelah.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) juga menjangka aliran trafik Lebuh Raya Utara Selatan meningkat di antara 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari selepas kebenaran merentas negeri diumumkan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ramai pengguna terutama di Lembah Klang akan mengambil peluang bercuti bersama keluarga selepas menantinya sekian lama.

“Kami sudah melakukan persiapan di 94 plaza tol Lebuh Raya PLUS sebagai mengalu-alukan pembukaan semula perjalanan rentas negeri.

“Semua laluan lebuh raya utara selatan ini bersedia menerima kenderaan sebaik sekatan pergerakan negeri ditarik balik,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Zakaria berkata, dalam memastikan keselamatan dan keselesaan di lebuh raya, kakitangan PLUSRonda, kru keselamatan dan penyelenggaraan serta kakitangan perkhidmatan pelanggan di sepanjang 1,130 kilometer lebuh raya sudah bersiap sedia.

“PLUS akan bekerjasama dengan polis trafik dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meningkatkan penguatkuasaan lebuh raya,” katanya.

PLUS juga mengingatkan agar pelanggan lebuh raya merancang perjalanan dna memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi demik keselesaan mereka di sepanjang perjalanan. – UtusanTV