SEBANYAK 89 peratus pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) merupakan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai minda kelas pertama dan bertaraf global.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Mara telah menaja seramai 50,555 pelajar sehingga 30 September lalu.
Kata beliau, ia merangkumi 44,994 pelajar golongan B40; 5,055 atau 10 peratus daripada golongan M40 dan hanya satu peratus atau 506 sahaja pelajar T20.
Mahdzir memaklumkan, pelaksanaan dasar itu telah bermula di peringkat pengambilan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kemasukan pelajar ke institusi pendidikan Mara (IPMA) dan juga program penajaan pelajaran.
“Mara sejak dahulu lagi mengamalkan dasar yang memberi keutamaan kepada golongan B40 dan penduduk luar bandar bagi akses kepada pendidikan yang lebih baik.
“Melalui program pengajuran pelajaran ini, ia merupakan strategi serampang dua mata yang bukan sekadar memberi tumpuan dan peluang kepada pelajar miskin serta luar bandar tetapi turut menjamin keperluan guna tenaga dan modal insan negara dapat dipenuhi selaras dengan perkembangan teknologi serta industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Mara juga menyediakan penajaan pelajaran di institusi dalam dan luar negara berbentuk pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang bermula daripada program persediaan sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).
Baca artikel berkaitan: Orang Melayu tidak perlu banyak parti politik – Mahdzir
Kata beliau, ia termasuk kursus-kursus pentauliahan profesional, kepakaran dan program-program kritikal yang diselaraskan mengikut keperluan negara pada masa hadapan.
Bagi tahun ini, Mahdzir berkata, Mara menyediakan peruntukan untuk membiayai 60,000 pelajar merangkumi 35,000 pelajar sedia ada dan 25,000 lagi pelajar baharu.
“Pemilihan pelajar bagi mengikuti program penajaan ini bukan hanya tertumpu dari aspek status sosio ekonomi (SES) keluarga sahaja, tetapi turut mengambil kira kecemerlangan akademik, kebolehan pelajar yang dinilai melalui ujian psikometrik, ko-kurikulum serta status institusi pendidikan dan program yang dipilih.
“Peratusan itu juga jelas menunjukkan bahawa kementerian bersama Mara sememangnya memberikan keutamaan kepada anak-anak dari keluarga B40 sekali gus menafikan dakwaan tajaan Mara lebih mengutamakan pelajar dari keluarga T20.
“Saya mohon kepada orang ramai untuk merujuk Mara terlebih dahulu sekiranya terdapat dakwaan tidak berasas daripada pihak tertentu,” jelas Mahdzir.
Terbaharu, Mara menghantar 215 pelajar tajaannya ke United Kingdom dibawah program Young Talent Development Program (YTP), IPMA Excellent Sponsorship Program (IESP) dan World Top University (WTU).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

