
KEPERITAN hidup lima beranak yang hilang tempat berteduh apabila terpaksa keluar dari rumah sewa mereka dan menjadikan kenderaan pelbagai guna (MPV) sebagai tempat tidur sejak tiga bulan lepas mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
MAINS melalui hantaran di laman Facebook memaklumkan pihaknya menziarahi keluarga Muhammad Mujahid Mohd Kamal Jalani di sebuah lokasi di Bukit Chedang di Seremban petang kelmarin bagi menguruskan bantuan yang diperlukan.

Hantaran itu menyebut Muhammad Mujahid, 32, dan isterinya, Sayidah Suhaila Mohd Shukri, 28, sudah empat tahun bermastautin di Negeri Sembilan serta mempunyai tujuh anak.
“Difahamkan, tiga anak mereka yang berumur 7, 8 dan 9 tahun ditempatkan di sebuah asrama kebajikan, seorang berusia 5 tahun dijaga oleh ahli keluarga lain manakala tiga lagi berumur 1 dan 3 tahun termasuk bayi berusia 3 bulan tinggal bersama mereka,” menurut hantaran itu.
MAINS juga menyatakan Muhammad Mujahid mempunyai masalah cakera teranjak atau slipped disc manakala isterinya menghidap penyakit asma yang kronik menyebabkan usaha pasangan itu dalam mencari dan meneruskan pekerjaan terganggu.
Katanya melalui zakat MAINS, keluarga itu akan dibantu dengan penempatan rumah sewa baharu beserta bayaran deposit, bantuan kewangan kecemasan dan barangan dapur.
Turun menziarah ialah Pegawai MAINS Daerah Seremban, Che Som Omar dan Pegawai Dakwah MAINS Daerah Seremban, Anwar Muttaqin, manakala Skuad Gerak Khas (SGK) MAINS melalui ketua dan pegawainya, Mohd. Zahid Mohammad dan Amir Syukri Abdul Jalil turut membantu keluarga bagi urusan penempatan. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram