KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang melaksanakan 38 buah projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di seluruh negeri Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keseluruhannya RM1.7 bilion diperuntukkan bagi projek tersebut bagi tahun ini.
“Bagi keseluruhan negeri Sarawak, projek yang sedang dijalankan adalah sebanyak 38 projek bekalan air seperti di Serian ini dan kos keseluruhan projek yang sedang dijalankan itu adalah RM1.7 bilion di seluruh negeri.

“Jadi ini adalah sebahagian tanggungjawab KPLB berkaitan dengan prasarana untuk rakyat khususnya di negeri Sarawak.”
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Tangki Air Aras Tinggi dan Simbolik Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Mentong Merau/Mongkos di Serian hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.
KPLB, katanya, akan terus membuat penyambungan projek Bekalan Air Luar Bandar itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah berjalan mulai tahun ini sehingga 2025.
“Perdana Menteri telah mengumumkan RMK12 tiga minggu lalu di Dewan Rakyat dan kita mengambil kutipan dari bajet itu untuk 2021 hingga 2025, dan minggu hadapan ada pengumuman bajet di peringkat Dewan Rakyat dan kita akan tahulah lebih kurang perbelanjaan yang akan digunakan untuk tahun 2022.”
Mengenai projek bekalan air di Kampung Mentong Merau/Mongkos itu, Mahdzir berkata, projek tersebut bermula sejak 2017 dan menelan kos RM112 juta.
BERITA BERKAITAN KPLB, Kerajaan Sarawak bekerjasama bangun sistem data raya projek pembangunan
Ia memberi manfaat kepada 14,385 penduduk di kawasan terbabit.
Pembinaannya melibatkan kerja saluran paip sepanjang 165 km, pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti 1 juta liter di Kampung Senggai Mawang dan 2.5 juta liter di Kampung Muara Ahi.
Projek turut melibatkan pemasangan paip ke rumah-rumah dan pembinaan stesen pam penggalak.
“Projek ini boleh menampung sebanyak lebih kurang lima ribu buah rumah penduduk dan projek ini dijangka projek pada November 2021. Pembikinan paip rumah-rumah sedang disusun dan kalau semuanya berjalan maknanya hujung tahun ini, penduduk dapat menggunakan air bersih daripada projek ini,” jelas Mahdzir. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

