Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. GAMBAR: Abd Razak Aid

Oleh: DATUK DR HASAN MAD

PADA 14 Oktober 2021, dianjurkan webinar atas tema “UMNO yang hilang”. Ramai hadir, berminat nak tahu kenapa banyak sangat benda yang hilang sejak kebelakangan ini.

Yang belum sempat kami randaukan termasuklah bab Pandora Papers, yang heboh menceritakan hal duit negara yang hilang.

RMK-12 yang dibentangkan di Parlimen pada 27 September, beralih angin, dari pelan pembangunan berpaksikan pertumbuhan, kepada kemakmuran, berslogankan kemakmuran yang inklusif dan mampan. Terlaksanakah kemakmuran dalam suasana banyak benda yang dah hilang?

Di antara tiga tiang seri kemakmuran yang utama iaitu pemerintahan, sudah nampak reput di pasaknya.

Datuk Dr Hasan Mad

Bagi Pribumi:

● Nak diikut kehendak Tengku Razaleigh Hamzah mahu menghidupkan kembali UMNO lama yang telah diharamkan, pastinya akan melalui banyak liku perundangan serta onak politik. Realitinya, opsyen pertama ini statusnya adalah “uncertain”, dalam konteks menghadapi PRU15 yang entahkan esok atau lusa.

● Nak ikut UMNO, kepalanya dikuasai kluster mahkamah, ditambah parah dengan luka-luka bernanah. Jika pihak luar nak menegur mereka, samalah ibarat kita nampak rumah orang bocor di sana sini, tapi pemiliknya kata itu bukan masalah baginya, malah mereka nyenyak lena tidur dibuai mimpi-mimpi indah.

● Nak didukung Bersatu, tiang serinya pun tak nampak.

● Nak disokong PAS, tiang serinya bergoyang mengikut angin.

UMNO, Pas gesa
Pas berada dalam Muafakat Nasional bersama UMNO selain menjadi parti komponen Perikatan Nasional bersama Bersatu, Gerakan dan SAPP.. / Gambar FB UMNO Online

Maka Pribumi pasrah, opsyen kedua ini pun “uncertain” sifatnya untuk menghadapi PRU15. Meraba-rabalah mereka mencari opsyen ketiga, atau, akan berserah kepada nasib, “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”.

Bayangan yang kian jelas ialah betapa kita perlu membiasakan diri dengan naratif baharu, norma baharu dan kerajaan baharu, iaitu kerajaan hibrid. Cita rasa kerajaan hibrid ini pun belum tahu bagaimana. Mungkin sama seperti Kerajaan PH, atau PN, atau Malayan Union atau barangkali Malaysian Malaysia.

Bagi orang seperti saya, pilihan yang ada menjelang PRU15 hanya dua iaitu terima Kerajaan Hibrid atau cetuskan Opsyen Ketiga. Tapi apa itu opsyen ketiga?

Andai kata saya seorang nujum, saya meramalkan Pribumi akan enggan biarkan “pisang berbuah dua kali”. Maknanya, Pribumi akan bangkit:

● Bina kekuatan mencorakkan semula kerajaan yang diidamkan, dalam masa sesingkat ini.
● Berani merencana Opsyen Ketiga, melakukan “the Great Re-set”, berteraskan ciri-ciri “Bermaruah, Hebat dan Diberkati”, yang konsisten dengan matlamat terkandung di dalam Maqasid Syariah.
● Hasilkan Manifesto Rakyat, sebagai “bargaining power” menghadapi PRU15 dan kelangsungan agenda kemakmuran pasca PRU15.

Ramalan saya, Pribumi akan berwaad dan berjanji untuk bersatu teguh menghadapi PRU15. Mereka hanya akan “bersama” calon yang juga dalam kalangan rabbani yang “Bermaruah, Hebat dan Diberkati”, yang:
● Berkeperibadian mahmudah dan miliki “roh insan” kental di dalam sanubarinya;
● Berani menggubal Dasar Induk Negara, sebagai kembar siam kepada Perlembagaan Persekutuan serta memastikan Perlembagaan itu kekal terpelihara;
● Komited untuk wartakan dan kuatkuasakan Wasiat Raja-Raja Melayu yang dinukilkan pada 5 Ogos 1957. Ini adalah misi yang belum selesai. Bersama Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Induk Negara, Wasiat ini mampu menjadikan Pribumi bangsa yang hebat, tidak menagih simpati atau diperlecehkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya dihormati;
● Dapat menuntut kembali semua bentuk khazanah negara yang hilang, kembali ke negara ini untuk manfaatkan semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama;
● Berani menjuarai agenda bumiputera (termasuk pemilikan ekuiti), seperti mana terkandung dalam DEB 1970 dan RMK-12;
● Komited untuk mengangkat dan memperkasakan semua institusi kemajuan Islam, sebagai institusi penyatuan ummah “beyond politic”.
● Miliki kebijaksanaan dan keperibadian seorang Khalifah yang layak diangkat sebagai Wakil Rakyat, bukan sekadar mengaburi mata kami dengan slogan “Rakyat Didahulukan” tetapi realitinya tidak begitu.

Pucuk pangkalnya terletak kepada keberanian Pribumi itu sendiri melakukan “The Great Re-set”, yang tidak semestinya diterajui kerajaan atau parti politik.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram