APAKAH benar ada satu lagi alam yang ‘hidup’ di alam fizikal kita ini? Alam tersebut kononnya bergerak dalam satu jajaran masa yang sama (parallel time) dengan kita, tetapi di satu dimensi lain yang tidak mampu kita lihat.

Dikatakan ke dalam alam misteri itulah ramai penghuni bumi ini tiba-tiba ghaib dan tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini. Begitulah andaiannya, seperti mana yang sering berlaku di negara kita, di mana masyarakat kita mengaitkannya dengan alam bunian dan jin.

Kejadian manusia hilang tanpa dapat dikesan ini sebenarnya banyak kali berlaku di luar negara. Ia menimbulkan pelbagai persoalan yang tidak mampu dijawab. Antaranya…

1.Bekas tentera James E. Tetford menaiki sebuah bas pada malam 1 Disember 1949, dari St. Albans, Amerika Syarikat menuju ke kediamannya di kuarters tentera Bennington. Selain Tetford, terdapat 13 orang lagi penumpang di dalam bas berkenaan.

Bagaimanapun, apabila sampai di Bennington, satu kejadian aneh berlaku, Tetford tiada. Yang tinggal hanyalah beg serta jadual perjalanan bas di atas kerusinya.

Kejadian ini menimbulkan pelbagai pertanyaan kerana sebelum itu, Tetford dilihat sedang nyenyak tidur di kerusinya. Semua penumpang bas mengesahkan perkara tersebut dan mereka tidak melihat bekas tentera itu turun dari bas berkenaan. Tetford tidak dijumpai sampai sekarang.

2.Pada 1 Disember 1946, seorang gadis bernama Paula Welden dilihat berjalan menyusuri denai Long Trail, di Pergunungan Glastenbury, Vermont, Amerika Syarikat. Gadis itu terus melangkah sendirian sampailah di sebuah batu besar dan di situlah gadis berkenaan tiba-tiba lenyap!

Kehilangan Paula disaksikan oleh dua orang wanita berusia 50-an yang berada 70 meter di belakangnya. Kedua-dua wanita tersebut memberitahu polis, mereka lihat sendiri Paula menghampiri batu besar berkenaan dan terus ghaib begitu saja. Mereka cuba mencari gadis tersebut di sekitar batu itu, tetapi gagal menemuinya.

3. Mungkin ada yang mempertikaikan misteri di sebalik kehilangan seorang individu ketika bersendirian, tetapi bagaimana pula kalau yang hilang itu adalah seluruh penduduk sebuah tempat yang berjumlah 2,000 orang? Inilah yang berlaku pada November 1930, apabila seorang lelaki bernama Joe Labelle berjalan kaki menuju ke arah sebuah perkampungan Eskimo di pinggir Tasik Anjikuni, utara Kanada.

Labelle adalah pemburu haiwan kutub bagi tujuan mendapatkan bulunya. Dia sudah biasa ke perkampungan itu. Malah Labelle juga mengenali sebahagian besar daripada penduduk perkampungan itu yang kebanyakannya mencari pendapatan dengan memancing.

Bagaimanapun, apabila sampai di perkampungan Eskimo itu, Labelle mendapati perkampungan tersebut sunyi sepi. Tiada seorang pun yang kelihatan. Semua rumah dan pondok tidak berpenghuni. Kosong.

Labelle mengelilingi perkampungan itu tetapi tidak menjumpai walau seorang pun penduduknya. Sebaliknya yang Labelle jumpa adalah bara api dan sebuah periuk yang di dalamnya terdapat masakan yang sudah hangus.

Kejadian itu dimaklumkan Labelle kepada pihak berkuasa. Siasatan segera dijalankan tetapi hasilnya menimbulkan lebih banyak persoalan dan misteri yang tidak terjawab.

Pertama, seandainya penduduk kampung tersebut beramai-ramai meninggalkan tempat itu secara serentak, mengapa tiada sebarang kesan tapak kaki mereka yang dijumpai?

Kedua, kesemua anjing yang digunakan untuk menarik sled (kenderaan tanpa roda tetapi dipasang dengan  dua besi tajam untuk bergerak di atas lapisan ais) dijumpai tertanam hampir empat meter di bawah timbunan salji. Kesemua haiwan tersebut didapati mati kelaparan.

Bertambah pelik lagi, pihak polis juga mendapati semua makanan penduduk perkampungan itu yang dijumpai di dalam rumah dan pondok didapati tidak diusik langsung. Yang terakhir dan menimbulkan paling banyak pertanyaan, kubur-kubur lama yang menempatkan mayat nenek moyang penduduk perkampungan Eskimo itu didapati kosong.

_______________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam