Polis mengeluarkan dua kompaun terhadap wanita warga asing yang digelar 'Karen' oleh warganet Malaysia susulan tular video rakaman kekecohan di sebuah butik di KLCC baru-baru ini./ Gambar FB Polis Dang Wangi.

DI mana bumi dipijak, ikutlah undang-undang negara itu.

Misalnya dalam bab pemakaian pelitup muka yang diwajibkan di semua tempat awam tak kira tertutup atau terbuka.

Jangan jadi seperti kisah ‘Karen’ yang tular setelah menimbulkan kekecohohan apabila dihalang masuk ke sebuah butik di Suria KLCC kerana tidak memakai pelitup muka.

Menurut polis, wanita warga asing itu telah dikompaun RM3,000 atas dua kesalahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tindakan itu diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

“Dua kompaun dikeluarkan ke atas individu terbabit yang mana setiap satu kesalahan berjumlah RM1,500.

“Kesalahan pertama ialah tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera di kawasan capaian Internet yang luas.

“Kesalahan kedua pula ialah tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang wanita warga asing dipanggil untuk dirakam keterangan selepas satu klip video menunjukkannya menimbulkan kekecohan ketika dihalang masuk ke sebuah butik berjenama di KLCC oleh kakitangan butik terbabit kerana tidak memakai pelitup muka.

Kejadian itu mendapat perhatian luas warganet malah turut mengundang komen Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Baca artikel berkaitan: ‘Apabila berada di Malaysia, tolong pakai pelitup muka’ – Khairy

Susulan itu, polis menjalankan satu siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan wanita itu yang digelar sebagai ‘Karen’ oleh warganet.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram