Datuk Seri Ahmad Maslan. GAMBAR: Abd Razak Aid

BARISAN Nasional (BN) akan membuat pengumuman mengenai 28 calon yang bakal dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, pengumuman yang akan dilakukan pada pukul 10 pagi itu dibuat secara dalam talian tanpa majlis atau perhimpunan menjelang hari penamaan calon pada Isnin depan.

Kata beliau, ia akan dipancarkan secara langsung menerusi akaun Facebook UMNO Online.

“Pengumuman nama calon BN, secara langsung di Facebook UMNO Online.

“Sabtu, 6 November 2021 jam 10 pagi. Terima kasih memberi sokongan dan mengikuti,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Sebelum ini, tiga sayap UMNO Melaka telah pun mengemukakan 16 nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan tertinggi sebagai calon parti itu pada PRN Melaka, 20 November ini.

Ura-ura turut bertiup kencang, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang disebut-sebut dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya BN memenangi PRN itu akan bertanding di satu daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.

Kedudukan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sama ada mempertahankan kerusi DUN Lendu juga akan diketahui dalam majlis tersebut.

Baca artikel berkaitan: PRN Melaka : Niat Pas murni tapi pendirian celaru?

Nama ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar juga disebut-sebut antara calon muka baharu diletakkan parti itu dalam PRN ini.

DUN Melaka telah dibubarkan 4 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Ia selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 adalah pada hari Sabtu, 20 November depan.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada Isnin, 8 November manakala hari mengundi awal pada 16 November depan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram