MUKTAMAR TAHUNAN PAS KE-67
PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan, parti itu jangan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dalam lingkungan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pas menolak sebarang usaha untuk membentuk penjajaran baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan.
“Secara tegas, dinyatakan bahawa kita baru sahaja menubuhkan MN (Muafakat Nasional) mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut Piagam yang terbuka bukan tertutup.
“Dalam pada itu, kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat, sehingga berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur. Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar di Muktamat Pas Kali Ke-67 di Kuala Terengganu hari ini.
Abdul Hadi berkata, kemunculan MN pada mulanya hanya dianggotai oleh Pas dan UMNO sahaja, kemudian, kedua-dua buah parti tersebut bersetuju untuk menjemput Bersatu, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam Memimpin dan Perpaduan Ummah yang lebih kukuh.
“Seterusnya, ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih majmuk iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.
“Gabungan ini menerima asas Perlembagaan Persekutuan dan terbuka penyertaannya kepada semua parti yang tidak menyeleweng daripada Perlembagaan. Inilah acuan perpaduan nasional yang kita ingin perkenalkan kepada semua,” katanya.
Presiden Pas itu juga menegaskan, untuk mendapat jaminan paling kuat bagi menegakkan konsep kepimpinan Islam yang berprinsip, maka Pas wajib berusaha sekurang-kurangnya menjadi penentu dalam keputusan PRU-15 berasaskan jumlah kerusi yang menang, bukannya banyak jumlah kerusi yang bertanding tanpa kerusi yang dimenangi.
“Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama’ dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya, demi memastikan Islam terus memimpin,” katanya.
Beliau berkata, usaha penyatuan ummah tidaklah mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan yang didambakan.
“Namun, kita wajib menghadapi PRU-15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan kerana sikap tamak, mementingkan diri atau dendam kesumat sehingga keputusan PRU-14 berulang lagi,” katanya.
Abdul Hadi juga mengingatkan, Pas perlu konsisten dengan menampilkan pendekatan politik yang jujur dan bersih untuk memulihkan negara.
Kata beliuau, kukuhnya intergriti itu laksana teras yang tidak akan musnah dan cahaya yang tidak akan padam, sekalipun dilanda dengan segala ribut taufan dan gelombang lautan yang besar, hatta gempa bumi yang paling kuat.
“Mereka yang gagal dalam intergriti, akan tenggelam dalam cabaran yang mengepung kehidupannya dan dalam partinya sendiri serta berlaku krisis nilai diri.
“Apakah faedahnya jika sekadar mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar tetapi tidak berintergriti, sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti.
“Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya intergriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk menjadi kleptokrat. Kehilangan intergriti pemimpin diikuti dengan kelemahan kerajaan dan penamatnya dengan kemusnahan negara,” katanya.
——————————–
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam

