SERAMAI 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang telah tamat tempoh khidmat wajib telah pun dinilai dan boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk lantikan tetap tahun depan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Khairy, jumlah tersebut meliputi seramai 3,586 lantikan pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta pegawai farmasi.
Khairy memaklumkan, pelantikan kesemua pegawai perubatan ke lantikan tetap itu membabitkan peruntukan berjumlah RM377.49 juta.
“Daripada 10,583 pegawai yang telah tamat tempoh khidmat wajib, 4,186 pegawai telah pun dinilai dan boleh diperakukan kepada JPA untuk lantikan tetap.
“Jumlah yang diperlukan untuk tahun depan meliputi 3,586 membabitkan lantikan pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta pegawai farmasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang ingin mengetahui langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak dan halangan pelantikan jawatan tetap serta implikasi kewangan pengambilan pegawai tetap.
Baca artikel berkaitan: Hartal Doktor Kontrak 2.0 akan dilaksana, protes Bajet 2022
Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, kerajaan telah membuat keputusan supaya pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah melengkapkan perkhidmatan wajib dua tahun dilanjutkan tempoh kontrak selama dua tahun lagi selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan telah bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak 10,583 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dengan peruntukan sebanyak RM336.35 juta dalam pembentangan Bajet 2022.
Selain itu, Khairy memaklumkan kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta bagi dimanfaatkan 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian bagi penajaan program kepakaran.
“Seperti mana yang telah dimaklumkan sebelum ini, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mendapatkan penyelesaian jangka masa panjang terhadap isu lantikan kontrak ini.
“Jawatankuasa ini sedang meneliti keperluan bagi pindaan kepada beberapa akta berkaitan termasuk Akta Perubatan dan Akta Pergigian.
“Kementerian Kesihatan (KKM) bersama JPA juga masih meneruskan perbincangan bagi membuat pindaan kepada Akta Pencen bagi melihat kesesuaian penawaran lantikan secara tetap dengan lebih lestari kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi meneruski Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

