PENGASAS dan CEO Vectolabs, Faizal Ali (kiri) dan Pengasas Bersama/COO Vectolabs, Muhammad Ikhwan Ayub

VECTOLABS Technologies Sdn Bhd (Vectolabs), penyedia sistem teknologi Internet of Things (IoT) tempatan mengumumkan telah memperoleh kontrak dengan Petronas Digital Sdn Bhd (PDSB) bagi menyediakan sistem keselamatan pengangkutan untuk aset kenderaan berat Petronas.

Sistem Keselamatan Pengangkutan Edge AI dibangunkan bersama PDSB yang membolehkan penguatkuasaan polisi pengurusan keselamatan kenderaan Petronas dilakukan dalam masa nyata dan 150 kenderaan akan dilengkapi dengan sistem itu menjelang akhir tahun ini bagi fasa pertama pelaksanaannya.

FAIZAL ALI

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Vectolabs, Faizal Ali berkata, model yang menggunakan teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) itu dibangun dan dioptimumkan oleh saintis data PDSB yang kemudiannya memilih Vectolabs sebagai rakan penyedia sistem perkakasan untuk rumusan tersebut.

“Rumusan itu dibangunkan PDSB kerana keperluan bagi menangani isu keselamatan berkaitan kenderaan berat milik Petronas ketika berada di jalan dan lebuh raya bersama kenderaan orang awam dan seterusnya mematuhi polisi Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) organisasi tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Dalam usaha memastikan keselamatan kenderaan dan pemandu, penggunaan kaedah tradisional seperti melakukan persampelan rakaman video sudah agak ketinggalan dan tidak berdaya maju kerana ia membabitkan pengurusan sekumpulan kenderaan yang bergerak dalam jarak jauh dan berada dalam tempoh yang lama di jalan raya.

BERITA BERKAITAN Malaysia jana RM7.2 bilion potensi perniagaan Expo 2020 Dubai

Penggunaan AI menjanjikan peningkatan produktiviti, kecekapan dan keselamatan secara mendadak dalam beberapa sektor termasuk pengangkutan dan teknologi tersebut bukanlah sesuatu yang masih jauh kerana ia telah berada di pasaran sekarang. AI sedang merubah sektor pengangkutan dan membantu menjadikan semua jenis kenderaan menjadi lebih selamat, bersih, pintar dan selesa bagi pengguna jalan raya.

Faizal berkata, memandangkan sikap pemandu merupakan faktor utama menyumbang kepada berlakunya kemalangan, teknologi AI mampu menyediakan pendekatan proaktif dengan memperbetulkan tindakan pemandu yang tidak selamat dengan segera. 

Katanya, kaedah itu lebih baik berbanding kaedah tradisional yang hanya mampu melatih dan memperbetulkan kesilapan pemandu selepas mereka melakukan kesilapan dan menyelesaikan tugasan perjalanan. 

“Memandu kenderaan berat sememangnya mempunyai risiko lebih tinggi berlakunya kemalangan kerana ia dikhususkan bagi perjalanan jarak jauh yang akan meletihkan pemandu. Sehubungan itu, Sistem AI mampu mengesan pelanggaran peraturan keselamatan oleh pemandu yang mengantuk, menggunakan telefon bimbit, tidak memeriksa cermin, tidak fokus memandu (kerana makan, minum atau merokok) atau tidak memakai tali pinggang keledar,” tambahnya. 

TENAGA kerja Vectolabs dan barisan kenderaan yang menggunakan sistem yang dibangunkan oleh mereka.

Bagaimanapun, sistem tersebut hanya akan mengesan aspek pelanggaran peraturan keselamatan ketika kenderaan sedang beroperasi dan tidak akan melanggar privasi pemandu ketika mereka berehat atau tidak bertugas. 

Sistem juga akan mengesan kejadian pelanggaran peraturan keselamatan menggunakan data telematik melalui Rangkaian Kawasan Pengawal (Controller Area Network – CANBUS).

Sistem ini juga mampu mengesan pelanggaran had kelajuan dengan sangat tepat menggunakan data telematik berbanding dengan sistem pengesanan GPS yang mempunyai keterbatasan seperti tidak dapat mengesan apabila hilang isyarat ketika kenderaan melalui bawah jambatan, jejantas atau terowong.

“Apabila model AI mengesan sebarang pelanggaran peraturan keselamatan, pemandu akan dimaklumkan dengan serta-merta dan laporan akan terus dihantar kepada sistem di ibu pejabat untuk tindakan selanjutnya. Ini merupakan pendekatan yang proaktif bagi mengelak berlakunya kemalangan, bukannya tindakan reaktif iaitu selepas berlakunya kejadian seperti sebelum ini.

“Pembangunan sistem tersebut menggambarkan usaha pendigitalan Petronas yang selari dengan penerapan budaya HSE oleh semua kakitangan dan jabatan di organisasi tersebut.

“PDSB memanfaatkan teknologi AI untuk menguatkuasakan dasar pengurusan keselamatan secara proaktif dengan mengesan potensi kejadian sebelum ia berlaku dan dalam masa yang sama mampu membetulkan tindakan tidak selamat oleh pemandu bagi menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua,” kata Faizal.

Antara pelanggan Vectolabs adalah Petronas, Bateriku.com, Alam Flora dan TMOne. Syarikat itu juga baru-baru ini berjaya membangunkan infrastruktur IoT untuk aplikasi lampu jalan pintar yang pertama di Presint 15 bersama-sama dengan Perbadanan Putrajaya.

Projek tersebut merupakan infrastruktur IoT pertama dikendalikan oleh majlis perbandaran di Malaysia menggunakan teknologi LoRa di Putrajaya, bagi meningkatkan inisiatif di bawah Rangka Tindakan Bandar Pintar Putrajaya.

Dengan kejayaan mereka sebagai rakan niaga Intel, syarikat pemula berpangkalan di Cyberjaya itu telah dijemput untuk menyertai acara Intel Innovation sebagai pempamer yang diadakan secara maya pada 27-28 Oktober 2021.

Intel Innovation ialah acara digital yang menawarkan latihan dan pendidikan mengenai teknologi dan alat pembangunan yang dibimbing oleh pakar pelbagai industri untuk peserta yang terdiri daripada pembangun sistem dari seluruh dunia. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram