SEBANYAK 27 kru warga Indonesia berdepan detik cemas apabila dua daripada tiga bot ‘barter trade’ (tukar barang) yang dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di perairan Pulau Pisang, Batu Pahat, semalam.
Bagaimanapun kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh kapal yang berada berhampiran.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerusi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pada pukul 11 pagi daripada ejen bot mengenai kejadian itu.
Menurutnya, ejen bot memaklumkan tiga bot ‘barter trade’ syarikatnya yang membawa muatan kelapa iaitu KLM Budiman, KLM Alam Makmur dan KLM Firman Jaya 3 mengalami kecemasan di laut.
Berikutan itu katanya, tiga bot Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi.
“Pada pukul 12.27 tengah hari, pihaknya menerima maklumat daripada pihak ejen kapal bahawa KLM Budiman telah dijumpai dan hampir tenggelam di kedudukan 8.1 batu nautika dari Tanjung Laboh oleh sebuah kapal kargo yang berada berhampiran.
“Kesemua 10 kru bot warga Indonesia dilaporkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, kira-kira pukul 12.57 tengah hari pula, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan tujuh kru KLM Alam Makmur oleh sebuah kapal pasir di kedudukan 7.4 batu nautika barat daya Pulau Pisang.
Ujarnya, pada pukul 3.45 petang, pihaknya menerima maklumat mengenai 10 kru KLM Firman Jaya 3 telah diselamatkan oleh sebuah bot ‘barter trade’ berhampiran dan telah dibawa ke Tanjung Balai, Indonesia.
“Kedua-dua bot terbabit dilaporkan telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya dan disyaki akibat cuaca buruk.
“Operasi tamat pada pukul 5.30 petang dan Maritim Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada semua agensi serta komuniti yang terlibat dalam usaha carilamat ini,” tambahnya.

