Ukiran wajah Tun M yang mendapat perhatian berkas perdana menteri.

IBARAT mimpi jadi kenyataan apabila ukiran potret Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sehelai daun teja mendapat perhatian daripada mantan perdana menteri itu.

Buat Muhammad Hafizi Abdul Karim, ia merupakan sesuatu yang langsung tidak disangka tambahan pula hasil kerjanya mendapat pujian daripada tokoh tersohor negara.

“Saya rasa gembira tak terkata kerana seseorang yang berpengaruh seperti Tun M beri maklum balas kepada ukiran saya,” katanya kepada UtusanTV.

Tambah Hafizi, dia telah dihubungi oleh pegawai Mahathir bagi merealisasikan impiannya untuk berjumpa dan menghadiahkan ukiran potret tersebut.

“Dalam dua hari lepas, pegawai Tun menghubungi saya dan hari ini beliau memuat naik reaksinya di laman TikTok.

“Pegawai beliau bertanya untuk membuat perjumpaan di Alor Setar, Kedah. Namun, belum dimaklumkan lagi tarikh perjumpaan tersebut,” ujar pemuda berusia 30 tahun ini dengan gembira.

Baca artikel berkaitan: Ukir wajah Tun M pada daun teja, hasil anak muda ini terima pujian ramai

@chedetofficial

Terima kasih @Hafizi_Eiji

♬ Summermode – Official Sound Studio

Hari ini, menerusi akaun TikTok rasmi Mahathir, @chedetofficial, beliau memuat naik sebuah video berdurasi 17 saat yang merakamkan ucapan terima kasih buat Hafizi kerana sudi mengukir potretnya.

“Hello Hafizi, terima kasih kerana melukis muka saya atas daun. Itu satu usaha yang cantik. Saya ucap tahniah,” ujar Tun M di laman TikToknya sehingga mendapat lebih daripada 1.2 juta tontonan.

Isnin lalu UtusanTV melaporkan, Hafizi mula mengukir daun bagi memenuhi permintaan isteri tercinta untuk mengukir wajahnya pada sehelai daun, tidak menyangka sama sekali akan menerima reaksi positif daripada orang ramai.

Ditanya mengenai persiapan yang dilakukan untuk bertemu tokoh terkenal itu, Hafizi memaklumkan dia perlu mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental.

“Dari segi teks ucapan kepada Tun itu masih belum fikir lagi. Cuma sekarang mempersiapkan diri dari segi mental,” katanya.

Hafizi turut berkongsi bahawa keluarganya sangat gembira dan berbangga akan pencapaian yang diraih dan sehingga kini dia masih tidak percaya bahawa karya seninya telah berjaya meraih perhatian daripada Bapa Pemodenan itu.

“Saya sangat kagum akan semangat patriotik yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir dari dulu lagi.

“Tak pernah bayangkan akan dapat berjumpa dengan Tun Mahathir. Saya tak sangka yang beliau seorang insan peramah”.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram