Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron sempat meluangkan masa minum bersama penduduk kampung melawat ketika melakukan lawatan mesra disalah sebuah gerai di kawasan DUN Asahan, Melaka, semalam.

TRAGEDI Oktober melibatkan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka kepada Ketua Menteri telah membawa kepada berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Walaupun mempunyai reputasi sebagai bekas Ketua Menteri Melaka Ke-10 selama satu penggal antara tahun 2013 hingga 2018, namun nama Datuk Seri Idris Haron telah dilabelkan sebagai ‘pengkhianat’ kepada partinya sendiri.

Penarikan sokongan ‘diketuai’ Idris bersama tiga lagi bekas ADUN itu akhirnya membawa kepada pemecatan beliau sebagai ahli UMNO dan diterima pula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Asahan dalam PRN Melaka kali ini.

Namun begitu, Idris menyifatkan tindakan beliau itu bagi memperjuangkan nasib rakyat melebihi segala-galanya.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron. GAMBAR: Abd Razak Aid

Pada masa sama, Idris turut menyatakan PH yang baru sahaja disertainya ini mampu menawarkan sebuah kerajaan yang lebih cekap, bersih dan beramanah berbanding sewaktu 18 bulan pentadbiran kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, kerajaan diketuai Datuk Seri Sulaiman Md. Ali ketika itu terus meletakkan ideologi politik mengatasi segala-galanya.

Kata Idris, rakyat mahukan perkhidmatan kerajaan yang konsisten dan istiqamah serta tidak memandang kepada warna kulit, latar belakang mahu pun ideologi politik.

“Saya perjuangkan rakyat lebih daripada politik tetapi kerajaan ketika itu masih meletakkan politik lebih dariapda segalanya.

“Itu sebab kita boleh nampak dalam banyak kegiatan, malah pemberian bantuan kebajikan pun mereka bertanya soal parti, kaum apa dan sebagainya.

“Sikap itu sudah tidak lagi relevan, rakyat telah menghukum mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu tetapi mereka masih tidak belajar, malah sehingga titik akhir saya menarik sokongan itu pun mereka masih tak belajar.

Baca artikel berkaitan: Idris Haron sah tanding tiket PH, PKR tampil calon 21 tahun

“Kalau kita teruskan dengan kaedah politik menguasai kerajaan, saya fikir malapetaka kalau mereka masih dipilih menjadi kerajaan selepas PRN ini,” katanya kepada UtusanTV.

Kehadiran Idris sewaktu diumumkan menjadi calon PH bagi DUN Asahan dilihat tidak disenangi beberapa pihak, namun beliau menyifatkannya sebagai lumrah untuk beliau membuktikan kesetiaan dan menyesuaikan diri.

Selepas 10 hari berkempen, beliau cukup terharu dan tersentuh dengan penerimaan semua pihak terutama jentera PH di DUN Asahan yang telah bekerja sebagai satu pasukan ibarat kenalan lama.

“Saya selalu balik kepada lumrah memang manusia ini fitrahnya kalau lihat kepada sesuatu yang baharu ada sedikit penolakan dan kita terpaksa lalui liku itu.

“Saya katakan dalam keadaan begini bukan saya yang membuat keputusan kerana ini terpulang kepada Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim), malah sebelum pengumuman calon pun saya dah beritahu saya tak dapat kenal pasti disenaraikan atau tidak tetapi kalau siapa pun tersenarai saya akan menyokong.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron melawat seorang warga emas ketika melakukan lawatan mesra disekitar kawasan DUN Asahan, Melaka, semalam.

“Bila orang tanya DUN mana saya akan pergi, saya katakan kepada mereka saya tak tahu lagi-lagi saya ini new kid in the block. Orang kata beggar cannot be choosy,” jelas beliau.

Idris menghadapi saingan enam penjuru di kerusi DUN Asahan termasuk Ketua Pemuda UMNO Alor Gajah, Fairul Nizam Roslan dan calon Perikatan Nasional (PN), Dhanesh Basil.

Dalam PRU-14 lalu, kerusi DUN Asahan dimenangi Allahyarham Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dengan majoriti 275 undi.

Abdul Ghafaar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka, kira-kira pukul 1.05 tengah hari tadi selepas dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat COVID-19.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram