PENYANYI terkenal, Datuk Nora Ariffin mendedahkan bahawa dia bakal menamatkan kehidupan bersendirian dan mendirikan rumah tangga bersama seorang pendidik.

Terdahulu, pemilik nama Wan Norafizah Ariffin pernah terpalit akan kontroversi panas dan menafikan dakwaan bahawa dia bernikah dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Selatan Thailand.

Menurut laporan Metro, Nora berkongsi bahawa hubungannya dengan pendidik untuk sudah mendapat restu anak-anak selepa berfikir sehabis baik akan keputusan untuk berumah tangga.

Nora,48, turut memaklumkan bahawa insan istimewa itu merupakan kenalan lama namun dia tidak mahu berkongsi secara lebih lanjut berkenaan lelaki yang bakal menjadi suaminya itu.

“Insya-Allah tahun ini (mendirikan rumah tangga), perkara yang baik tidak elok dilengahkan, namun yang penting mendapat restu anak-anak dan ahli keluarga.

“Situasi itu memberikan saya semangat dan Insya-Allah jika segala perancangan berjalan lancar, saya akan berkongsi mengenai hari bahagia itu tidak lama lagi.

“Anak-anak pun ada beritahu yang mereka akan memberi sokongan pada apa sahaja keputusan yang baik buat saya. Mereka, hanya mahu melihat saya gembira dan saya fikir sampai masanya (untuk berkahwin baharu),” kata penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema ini.

Tambah Nora lagi, pemuda yang bakal menjadi suaminya itu bukanlah merupakan seorang ahli politik seperti yang pernah tular terdahulu namun merupakan seorang pendidik.

“Kami sudah mengenali antara satu sama lain dan hasil perbincangan bersama dengan ahli keluarga persetujuan dicapai, insya-Allah perkara itu akan dapat direalisasikan dalam waktu terdekat,” ujar anak kelahiran Kelantan ini.

Terdahulu, Nora berkahwin dengan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung dan sekali lagi Nora diduga dengan kematian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff pada 13 Disember 2019.