ISU daging import timbul baru-baru ini apabila terdapat pihak menyalahgunakan status halalnya. - GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, tiga mekanisme baharu akan dilaksanakan bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin.

Beliau berkata, mekanisme dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama beberapa agensi berkaitan itu adalah rentetan daripada episod kartel daging import pada Disember tahun lepas yang telah membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan sistem pengurusan rantaian bekalan halal di Malaysia.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Berucap merasmikan Persidangan Halal Kebangsaan 2021 secara maya hari ini, Ismail Sabri berkata pelaksanaan mekanisme itu mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang untuk mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori penggudangan.

“Produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan mempunyai SPHM di bawah skim logistik kategori pengangkutan,” katanya.

Selain itu, katanya prosedur mandatori pembungkusan semula yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia di bawah skim produk makanan turut diwujudkan.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha memperkasakan lagi pensijilan halal Malaysia, JAKIM juga sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dengan kos RM3.4 juta.

Inisiatif ini akan merangkumi enam sistem iaitu MYeHALAL (Domestik), MYeHALAL (International), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).

“Contohnya melalui MyIHAB, JAKIM dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara, daripada 46 buah negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Insya-Allah, melalui perancangan yang dijangka bermula pada tahun 2023 nanti, Keluarga Malaysia akan dapat menyemak status halal produk daripada luar negara melalui sistem ini,” katanya.

Selain itu, JAKIM juga sedang membangunkan dua inisiatif iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa.

Katanya, ia sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia yang antara lain membolehkan pemain industri dari luar negara memohon persijilan halal Malaysia secara langsung daripada JAKIM.

Beliau berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga akan memberi keutamaan untuk memperkasakan usahawan halal bumiputera melalui program bimbingan dengan melibatkan beberapa kementerian berkaitan.

Katanya, hari ini beliau akan melancarkan pelaksanaan dan pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020.

“Ia adalah manual yang ditambah baik bagi keperluan berkaitan skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori domestik dan pengilangan luar negara.

Ismai Sabri berkata, Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 berperanan membantu industri halal terutamanya mikro bersedia ke arah pematuhan dan kawalan halal dalaman
pensijilan halal Malaysia . – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram