jam rado
Zaimi Ismail sebak selepas menerima kejutan daripada anak-anaknya berupa seutas jam tangan Rado.

KERAP kali singgah ke kedai jam yang sama setiap kali ke pekan tetapi tidak pernah membeli membuatkan anak-anak “syak” ayah mereka ada “hajat” tersirat yang tidak pernah diceritakan kepada orang lain.

Namun, semuanya terjawab selepas seutas jam tangan Rado Diastar berada di depan mata yang akhirnya membuka “rahsia” di sebalik kunjungan tak henti-henti ke kedai jam.

Menerusi video pendek perkongsian @naemzaimi, reaksi ayahnya ketika menerima kejutan itu terlalu berharga kerana diiringi linangan air mata orang tuanya yang sememangnya sudah lama impikan untuk memiliki seutas jam tangan tersebut.

“Siapa beli jam ini? Ya Allah, cita-cita abah. Betul ke ni hangpa belikan dekat abah? Terima kasih.

“Memang cita-cita abah, tapi abah kata tak apa. Sampai bila pun abah tak boleh pakai dah. Abah berkenan sangat warna ni,” ujar ayahnya sebak di dalam video tersebut.

Reaksi ayahnya itu turut mengundang sebak dua juta orang netizen yang menonton video itu.

Menurut Nurul Naim Zaimi atau mesra disapa Naim, dia dan adik beradik sudah lama berpakat untuk menghadiahkan ayah kesayangan mereka jam tangan jenama Rado Diastar berwarna emas.

“Dah lama dah niat nak bagi hadiah kerana dia (abah) selalu bila pergi ke pekan, dia akan singgah ke Kedai Jam Shanghai dan tengok jam itu.

“Abah selalu cakap dia suka tengok jam dekat situ, walaupun tidak membelinya,” ujar anak kelahiran Kuala Kedah ini.

Baca artikel berkaitan: Selepas ‘kantoi’ popular di TikTok, gelagat teacher ini cuba nafikan dirinya bikin anak murid riuh gemuruh

Hati tersadung sebelum bertukar riang, ada kisah di sebalik lelaki pikul wang hantaran RM20,000

@naemzaimi

Reply to @nadiahasif11 ni video ori, bertambah sebak bila sy tengok semula video ni. 🥺🥺

♬ original sound – ᴬᴮᴬᴺᴳ𝐒𝐏𝐄𝐊🦅 – ᴬᴮᴬᴺᴳ𝐒𝐏𝐄𝐊👓

Naim berkata, ayahnya yang dikenali sebagai Zaimi Ismail, 62, pernah mempunyai koleksi jam yang sama satu ketika dahulu, tetapi terjatuh ke dalam laut ketika keluar menangkap ikan.

“Abah dahulu seorang nelayan, dia pernah ada jam yang sama, tetapi hilang di laut,” ujarnya.

Tambahnya, abahnya kemudiannya membeli seutas jam yang sama bagi menggantikan yang hilang itu, tetapi disebabkan dihimpit masalah kewangan, orang tuanya itu terpaksa menjualnya kembali.

“Sejak dari itu, abah dah tak pakai jam sehinggalah ke hari ini,” katanya

Ujarnya, jam tangan yang berharga lebih RM4,000 itu dibeli bersama-sama hasil sumbangan semua adik beradiknya.

Zaimi Ismail bersama jam tangan jenama Rado miliknya

Tambah Naim, dia tidak menyangka reaksi ayahnya ketika menerima hadiah tersebut menjadi tular di laman TikTok kerana ia dimuat naik sekadar sebagai kenang-kenangan.

“Bila abah pergi pasar atau masjid, ramai kawan-kawan dia tegur sebab abah dapat hadiah jam baru. Abah pada awalnya pun pelik macam mana ramai kawan dia tahu, rupanya videonya sudah viral” ujar Naim sambil tertawa.

Naim turut menitipkan nasihat buat anak-anak di luar sana untuk menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa masing-masing.

“Kita selagi ada mak ayah, hargailah mereka”.

Rata-rata warganet turut meninggalkan komen bahawa hati mereka tersentuh melihat reaksi ayahnya apabila menerima jam tangan tersebut.

“Bukan ayah tak mampu. Tapi duit yang ada semua untuk anak-anak. Sebak tengok,” komen @shahidan

“Rindu papa. Jam favorite arwah masa ada dulu,” ujar @daddyhood

“Part ‘memang cita-cita abah ni, sampai bila-bila abah tak boleh pakai dah’… hat ni kaca dah mata ambo abe,” tulis @SafaMuhammad.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram