PERBEZAAN budaya dan agama, antara faktor utama mengapa pelakon serta penerbit Puan Sri Tiara Jacquelina menolak tawaran berlakon di Hollywood sebelum ini.

Peluang untuk melebarkan sayap ke luar negara sememangnya menjadi rebutan anak seni di negara ini namun berlainan pula buat Tiara,54, yang terpaksa membulatkan hati untuk tidak menerima tawaran berkenaan.

“Kalau 10 atau 20 tahun lalu mungkin saya dah merasa berlakon filem Hollywood. Tapi sebenarnya tak semudah yang dibayangkan sebab budaya Asia kita. Saya ‘old fashion’ sikit orangnya kadang-kadang.

“Lagipun tak semua yang berjaya ke sana, sebab ada benda yang sanggupkah kita buat kalau berlakon di Hollywood? Banyak halangan, contohnya kalau babak bercium, takkan saya nak tolak dan jawab ‘I don’t do kissing’,” katanya.

Tiara berkata demikian ketika sesi siaran langsung Instagram bersama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), malam tadi.

Tambah penerbit filem Puteri Gunung Ledang (PGL) itu lagi, dia pernah ditawarkan berlakon dalam dua buah filem Hollywood namun terpaksa menolaknya demi prinsipnya yang berpegang kepada budaya orang Asia.

“Sampai sekarang ada orang tanya, bila saya boleh ke Hollywood. Sejujurnya ada ejen panggil saya sertai uji bakat untuk watak orang Asia yang kita tengok sekarang.

“Tahun ini ada, tahun lepas pun pun ada. Tapi saya tak nak beritahu tajuk. Cuma apabila tonton filem itu, saya kata dalam hati, kalau saya pergi uji bakat, mungkin yang bawakan watak itu adalah saya,” kongsinya.

Pada sesi yang dikendalikan oleh editor hiburan berpengalaman yang bertindak selaku moderator iaitu Dean Musthafa dan Roslen Fadzil, Tiara turut memberi nasihat kepada pelapis baharu industri seni kreatif.

“Kena berdisiplin dan terus belajar. Jangan cepat rasa bagus, kita kena seadr beratus lagi pelakon kat luar sana.

“Sekarang ini zaman media sosial, banyak sangat pelakon cuma antata ada kulit atau sebaliknya.

“Pelakon yang bagus, ada ‘seri’ sendiri. Orang akan pandang dia atas kerja keras dan dedikasi bukan sahaja sebab dia lawa.

“Terus terang saya katakan, jarang nak jumpa pelakon yang tahu proses pembikinan sesebuah cerita atau filem ketika datang untuk uji bakat,” tuturnya.

Selain Tiara, artis lain yang akan turut berkongsi kisah menarik mereka ialah Fauziah Ahmad Daud, Maya Karin, Syamsul Yusof, Mawi, Yana Samsudin, pengarah dan penerbit filem seperti Datuk Ziela Jalil, Fadzil Teh dan Datuk A. Aida.

Sesi tersebut yang bermula Sabtu lalu akan berlangsung sehingga 29 November ini pada pukul 9 malam menerusi Instagram Wartawan Hiburan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram