PENGGUNA telefon bimbit diingatkan supaya segera beralih ke rangkaian 4G sebelum 3G ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember depan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, ia supaya perkhidmatan telekomunikasi pengguna tidak terkesan sekali gus menyebabkan mereka ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.

Menurut SKMM, pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G disaran segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke 4G bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

SKMM berkata, penyelesaian penamatan rangkaian 3G ini seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

“Ini bertujuan untuk mengguna semula spektrum sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih baik serta menarik kepada pelanggan dan isi rumah.

“Peningkatan kualiti yang akan dapat dilihat merangkumi kelajuan data yang lebih tinggi, latensi rendah dan kestabilan rangkaian.

“Hasilnya, pelanggan akan dapat melayari internet, menstrim video dan menikmati lain-lain perkhidmatan dalam talian dengan lebih baik dan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: SKMM sekat laman web Sugarbook

Mengulas lanjut, SKMM memaklumkan, sebanyak 94.03 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat setakat 30 September lalu.

SKMM berkata, pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn. Bhd. telah berjaya melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G.

“SKMM menggesa orang ramai dan syarikat-syarikat memanfaatkan inisiatif kerajaan bagi membantu peralihan ke rangkaian 4G dengan sebaik mungkin bagi menikmati kesalinghubungan jalur lebar lebih baik dan lancar.

“Antara inisiatif tersebut adalah Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Program Jaringan Prihatin yang membolehkan warganegara Malaysia memiliki atau menaik taraf peranti mudah alih terpilih bertaraf 4G VoLTE atau pun membeli pakej perkhidmatan data internet yang telah disubsidi oleh kerajaan dan penyedia perkhidmatan,” jelas SKMM.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram