Seorang pekerja menyusun Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang dijual dengan harga RM6.60 di sebuah kedai serbaneka di Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

USAHA penyaluran bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos barangan keperluan asas di peringkat pengeluar dan pemborong sudah dirangka melibatkan pelbagai kementerian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini susulan perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) serta pihak berkepentingan berkaitan isu kenaikan harga barangan seperti sayur, ayam dan telur.

Katanya, selepas mecapai tiga petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari, fokus Kementerian adalah memastikan harga barangan keperluan asas yang ketika ini mencatatkan peningkatan, dapat distabilkan menerusi mekanisme tertentu.

“Menghampiri 100 hari menerajui pentadbiran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), tiga KPI yang digariskan oleh Kementerian sudah melakar pencapaian 100 peratus.

“Tiga KPI itu adalah membabitkan isu berkaitan Sarawak iaitu pengecualian menggunakan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961 masing-masing di bawah bidang kuasa KPDNHEP; menurunkan harga kit ujian pantas (RTK) antigen dan memastikan kemampanan industri francais.

“Melangkah ke hadapan, fokus Kementerian seterusnya adalah memastikan harga barangan keperluan asas yang ketika ini mencatatkan peningkatan, dapat distabilkan menerusi mekanisme tertentu,” katanya dalam sesi temuramah program Ruang Bicara: Aspirasi Keluarga Malaysia KPDNHEP yang disiarkan di Bernama malam tadi.

Sementara itu, menurut KPDNHEP, selari usaha ke arah membuka lebih banyak sektor ekonomi berteraskan pendekatan yang selamat, Kerajaan menggalakkan saringan secara kendiri dalam kalangan komuniti.

Justeru, kata kenyataan itu, beberapa langkah strategik, termasuk memperluaskan penjualan kit ujian pantas RTK antigen kepada rangkaian premis peruncitan dan penetapan harga siling telah dilaksanakan.

“Penetapan harga siling RTK antigen pada paras RM19.90 seunit pada asalnya dijadual berkuat kuasa 5 September 2021, namun mendengar keluhan peniaga yang sudah membuat perolehan dengan harga bekalan berkadar tinggi secara lebih awal, Kerajaan bersetuju memberi tempoh lanjutan penguatkuasaan selama seminggu.

“Cakna dengan keluhan pengguna, terutama dalam kalangan B40 dan M40, Kerajaan menerusi KPDNHEP bertekad untuk melipat gandakan usaha supaya harga RTK antigen ini dikurangkan lagi dan mampu dimiliki oleh semua ahli Keluarga Malaysia.

“Bersandarkan rundingan dan kerjasama antara KPDNHEP serta pengusaha perniagaan, harga RTK antigen secara kendiri didapati merekodkan penurunan dua kali dalam tempoh kurang dua bulan, sejak harga siling dikuatkuasakan September lalu,” kata kenyataan tersebut.

Menurut KPDNHEP, kejayaan ini selaras Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan merupakan satu daripada tiga KPI KPDNHEP.

Kata kenyataan itu, RTK antigen kini boleh didapati di premis peruncitan pada harga serendah RM4.90, iaitu pengurangan sebanyak 87.7 peratus berbanding harga asal iaitu RM39.90, ketika peranti ini mula dijual di pasaran.

“Susulan impak faktor persaingan, lambakan RTK antigen yang dijual di pasaran sehingga menjangkau 83 jenama dan pengeluar (berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) setakat 24 November 2021), maka KPDNHEP mengambil pendirian bahawa tiada keperluan untuk menetapkan harga siling bagi peranti ini,” kata KPDNHEP.

Baca: Kit ujian kendiri COVID-19 serendah RM4.90 di 99 Speedmart

Di dalam program tersebut, menurut KPDNHEP, Alexander turut menegaskan bahawa keputusan ini bukan langkah ‘u-turn’ atau ‘patah balik’, sebaliknya apabila Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi MDA dan KPDNHEP merintis kerjasama, banyak syarikat pengimport RTK ini membawa bekalan masuk serta memberi pilihan yang amat meluas kepada pengguna.

“Secara tidak langsung, ini meningkatkan persaingan dan akhirnya mencetuskan kesan domino yang menyaksikan harga RTK antigen mampu dikurangkan sehingga ke paras harga mampu milik.

“Asas lain di sebalik keputusan KPDNHEP ini ialah sekiranya harga siling masih terus ditetapkan, ia dikhuatiri mengundang manipulasi di peringkat pengedaran dan penjualan kepada pengguna.

“Berkemungkinan, premis atau pihak yang menjual di bawah paras harga siling, boleh mengambil keputusan untuk menaikkan harga, memandangkan masih ada margin harga jualan untuk mereka berbuat demikian,” ujar kenyataan itu.

Oleh itu, kata KPDNHEP, bersandarkan persaingan hebat ketika ini antara pembekal RTK antigen di pasaran, KPDNHEP menaruh kepercayaan bahawa mereka akan terus menurunkan harga yang ditawarkan kepada pengguna.

“Kementerian akan terus memantau perkara ini secara berkala,” jelas KPDNHEP.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram