PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah membayangkan persefahaman antara gabungan itu dengan UMNO boleh dibentuk bagi menyekat Pas memenangi kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Raja Kamarul berkata, persefahaman tersebut boleh dibentuk dalam mencatur kerusi PRU-15 nanti.

“Walaupun kita dengan UMNO tidak di bawah payung sama tapi perbezaan kita tak begitu tajam. Kita tak serang UMNO, UMNO pun tak serang kita.

“Saya rasa kita dengan UMNO ada kelebihan, kita boleh berkomunikasi, dan mungkin ada peluang persefahaman untuk kita memberi tumpuan fokus dalam kerusi tertentu,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insight.

Beliau memberitahu, PH Terengganu sukar untuk “berbincang” dengan Pas, berbanding dengan UMNO biarpun mereka berbeza pendapat.

Pada PRU-14, Pas memenangi 22 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu sekali gus mengambil alih pentadbiran negeri daripada BN dengan majoriti dua pertiga manakala PH gagal mendapat sebarang kerusi dan 19 calonnya hilang deposit.

Bagi kerusi Parlimen, Pas memenangi enam kerusi Parlimen, sementara PH gagal memenangi sebarang kerusi bahkan tiga calonnya kehilangan deposit. UMNO menang dua kerusi di Hulu Terengganu dan Besut.

Dalam pada itu, Raja Kamarul menjelaskan persefahaman yang boleh dilakukan itu bukan sebuah persefahaman dalam bentuk kerjasama rasmi.

“Ada ruang duduk berbincang dan bertolak ansur. Keutamaan UMNO sekarang ini asalkan bukan Pas dan kepentingan kita pun sama, kerana Pas ini merosakkan Terengganu. Kita ada persamaan nak menyelamatkan Terengganu ini daripada Pas, ada matlamat. Kalau kita bertembung (kerusi) pun tak akan ada pertembungan yang sengit,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram