Jangan biarkan masalah seperti mabuk kenderaan, gigitan nyamuk, kulit terbakar mahupun ketidakselesaan perut mengganggu. Ikuti pelan diet percutian seperti yang dicadangkan oleh pakar pemakanan, Shona Wilkinson, di majalah Health & Fitness berikut:

Mabuk Kenderaan

Penerbangan atau perjalanan jarak jauh boleh menyebabkan anda berasa letih, kembung perut dan dehidrasi. Para saintis di Argonne National Laboratory, di Amerika Syarikat telah membangunkan satu jenis diet anti-mabuk kenderaan yang boleh diikuti pada sepanjang perjalanan dan percutian.

Diet tersebut adalah ‘puasa’ dan ‘raya’ selama empat hari sebelum perjalanan. Kaedah ini telah diguna serta dipraktikkan oleh kumpulan tentera yang mempunyai waktu kerja yang tidak menentu, dan terbukti berjaya.

Untuk mencuba cara ini, anda perlu ‘berpuasa’ pada satu hari, ‘raya’ esoknya, kemudian berpuasa semula dan rutin yang sama berulang sehingga sebelum anda bercuti. Ketika ‘raya’, ambillah sarapan yang mengandungi protein tinggi seperti telur bagi menggalakkan tubuh untuk ‘bangun’.

Pada sebelah malam pula, ambil makanan berkarbohidrat seperti beras perang dengan salmon yang boleh membantu tubuh menghasilkan bahan kimia yang diperlukan untuk mendorong anda tidur lena. Pada hari ‘puasa’ pula, cukuplah sekadar mengambil buah- buahan, jus, sup atau salad untuk mengurangkan beban pada hati.

Corak pemakanan sebegini mampu mempercepatkan keupayaan badan menyesuaikan diri dengan zon masa yang berubah-ubah. Makan makanan ringan dan yang mengandungi rendah gula ketika perjalanan boleh mencegah perubahan gula dalam darah yang boleh menyebabkan keletihan.

Biasanya bila berada di tempat baru, kita sukar melelapkan mata. Makan makanan seperti ayam, kacang soya, ikan tuna dan salmon yang mengandungi tryptophan, iaitu hormon melatonin boleh membantu anda untuk tidur. Selain daripada itu, ceri yang mengandungi melatonin semula jadi juga boleh ditambah dalam minuman. Apabila anda mahu kembali ke rumah selepas percutian, ulangi kaedah yang sama – ‘puasa’ dan ‘raya’.

Panahan Cahaya Matahari

Minimumkan kerosakan yang dialami kesan daripada pendedahan cahaya matahari dengan memasukkan antioksidan (vitamin C dan E) dan selenium dalam diet.

Ambillah sebanyak mana makanan berwarna merah, buah-buahan serta sayur-sayuran hijau yang boleh. Kaya dengan antioksidan likopen, tomato, tembikai, dan jambu merupakan sumber terbaik yang boleh diambil bagi melindungi kulit, terutamanya apabila ia digabungkan bersama vitamin E (biasanya ditemui dalam biji bunga matahari dan badam).

Berdasarkan kajian di Jerman, hidangan lima sudu besar pes tomato bersama minyak zaitun setiap hari dapat meningkatkan perlindungan terhadap pancaran cahaya matahari sebanyak 33 peratus. Sama seperti anda menggunakan krim pelindung matahari (SPF).Vitamin E dapat membantu penyerapan vitamin C di mana makanan yang mengandungi kedua-dua manfaat vitamin tersebut termasuklah buah kiwi dan mangga.

Astaxanthin, pigmen berwarna merah jambu yang ada pada salmon merupakan satu antioksidan karotenoid dan dapat melindungi sel kulit daripada sinaran UV. Salmon juga mengandungi lemak omega-3 yang mampu mengurangkan keradangan yang sering dikaitkan dengan pancaran cahaya matahari.

Asid lemak diperlukan bagi membantu memulihkan keanjalan kulit di samping memastikan kulit lebih tahan kepada kerosakan. Labu juga mengandungi lemak omega-3, manakala selenium sering diberi kepada pesakit yang mengalami kulit terbakar untuk menggalakkan penyembuhan kulit. Snek yang terdiri daripada buah-bahan atau makanan yang kaya dengan selenium seperti kacang Brazil, berupaya untuk terus melindungi kulit anda biarpun terdedah dengan pancaran matahari.

Stres Haba

Stres haba berlaku apabila suhu badan meningkat lebih cepat dan mendadak. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada strok haba yang boleh mengancam nyawa. Pertahanan utama badan adalah dengan berpeluh, namun jika mengalami dehidrasi, tubuh akan bekerja lebih untuk menghasilkan peluh.

Anda perlu meningkatkan pengambilan air sebanyak 20 peratus ketika cuaca panas. Caranya ialah dengan mengambil tiga liter air setiap hari, makan makanan yang mengandungi cecair tambahan seperti tembikai, tomato, buah-buahan segar dan pelbagai sayur-sayuran. Perlu diingat, tubuh hanya memerlukan 20 minit untuk terhidrat! Oleh itu, jangan tunggu sehingga berasa dahaga untuk minum. Jika air kencing berwarna kuning gelap, bermakna anda perlu minum.

Jika anda menyangka menikmati koktel di kolam renang merupakan idea terbaik untuk menyejukkan diri daripada panas matahari pada waktu tengah hari, fikirkan sekali lagi.

Alkohol dan minuman berkafein akan terus menghidratkan anda, jadi hadkan pengambilan minuman tersebut sebaik yang boleh.