TH Properties Sdn. Bhd. menerusi tiga anak syarikatnya mengumumkan berjaya merangkul tiga anugerah pengurusan fasiliti terbaik 2021.
Menurut TH Properties dalam kenyataan, TH Universal Builders Sdn. Bhd. (THUB) telah dinobatkan sebagai salah satu pemenang Anugerah Inisiatif Hijau Putrajaya 2021 (AIH Putrajaya 2021) bagi kategori Institusi Awam dan Swasta.
Penganugerahan kepada THUB itu menerusi aspek inovasi dalam sistem pengurusan fasiliti dengan menggunakan bahan, teknologi dan sistem pengurusan terkini di Kompleks Islam Putrajaya milik Lembaga Tabung Haji.
THP Services Sdn. Bhd. pula merangkul tempat kedua Anugerah Kontraktor Cemerlang Kategori Pengurusan Fasiliti Bangunan dalam majlis penyampaian Anugerah Inovasi dan Anugerah Kontraktor Cemerlang Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021.
Anugerah diterima THP Services itu dianjurkan setiap dua tahun oleh JKR yang menilai dan memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat pengurusan fasiliti yang melaksanakan perkhidmatan pengurusan fasiliti bangunan dengan cemerlang serta berkualiti.
Satu lagi anak syarikatnya, THP Utara Facilities Sdn. Bhd. turut berjaya mendapat tempat ketiga Anugerah Pengurusan dan Penyelenggaraan Terbaik Bangunan Gunasama Persekutuan 2020.
Kemenangan THP Utara itu adalah bagi bangunan di bawah selenggaraannya di Alor Setar iaitu Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah.
Baca artikel berkaitan: Uthmaniah labur RM3 bilion bangunkan pusat kanser
Ketua Pengurusan Fasiliti TH Properties, Nadzri Mohd. Daud berkata, pengiktirafan dalam bentuk anugerah pengurusan fasiliti terbaik itu merupakan pewajaran bagi komitmen dan usaha merealisasikan aspirais syarikat menjadi salah satu cabang perniagaan berpotensi tinggi.
Menurut beliau, ia sekali gus dapat menyumbang secara terus kepada ekonomi umat Islam dan pendeposit Tabung Haji.
Nadzri memaklumkan, ia juga membuktikan komitmen padu TH Properties dalam melaksanakan program dan proses pengurusan fasiliti yang menyokong pembangunan hijau serta mampan.
“Ia juga merupakan sumber inspirasi bagi kakitangan Kumpulan TH Properties untuk mengorak langkah lebih jauh dan melakar kejayaan lebih besar bukan sahaja dalam bidang pengurusan fasiliti ini tetapi juga bidang pengurusan hartanah,” katanya dalam kenyataan sama.
Menerusi anak syarikatnya, TH Properties berwawasan untuk menjadi pakar dan penggiat utama dalam perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu melalui pendekatan teknik amalan penyelenggaraan yang terkini dan terbaik dengan penarafan kepuasan pelanggan yang
cemerlang.
Ditubuhkan pada tahun 1980, TH Properties merupakan anak syarikat milik penuh Tabung Haji.
Antara bangunan yang berada di bawah selenggaraan THUB adalah Menara Bank Islam; Parcel F di Putrajaya; Menara Tabung Haji Tun Razak dan Menara Tabung Haji Johor Bahru.
Perkhidmatan pengurusan fasiliti THUB juga merangkumi kontrak luar negara seperti ibu pejabat Unilever di Leatherhead, United Kingdom.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

