BAHARU setahun bergelar ibu kepada seorang anak, pelakon Emma Maembong akui sukar untuk berenggang dengan si kecil walau sesibuk mana dirinya keluar bekerja.

Justeru itu, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail,29, nekad untuk ‘mengheret’ anak lelakinya, Shariq Gabriel ke set penggambaran.

Kata Emma, meskipun dia mempunyai pilihan untuk meninggalkan anaknya kepada pembantu rumah atau dihantar ke rumah pengasuh, namun naluri keibuannya yang tidak boleh berpisah antara faktor dia perlu membawa si kecil itu ke mana-mana.

“Sejak dah jadi ibu memang susah nak tinggalkan anak walaupuun dia okey saja. Cuma saya saja yang tak bersedia.

“Sejujurnya, waktu dapat tawaran untuk berlakon, saya memang tak bersedia dan tidak bersedia untuk tinggalkan anak.

“Biasalah, saya pun baharu setahun bergelar ibu. Tetapi apabila difikirkan semula, nanti akan mendatangkan kesusahan pada saya jika terlalu obses dengan anak…nanti dia asyik melekat dengan saya setiap masa,” katanya kepada URTV.

Emma berkata demikian pada sidang akhbar drama terbaharunya, I Promise, Janji Anaqi yang diadakan secara maya.

Tambah Emma lagi, dia akui sebelum ini pernah berdepan kesulitan untuk memberi fokus terhadap lakonan disebabkan terlalu teringatkan anaknya di rumah.

“Saya percaya sebagai seorang ibu, kita jaga anak lebih baik daripada orang lain. Daripada asyik fikir anak dah makan atau belum…anak buat apa di rumah, saya nekad ambil jalan pintas bawa dia ke set pengambaran.

“Tapi tak bolehlah selalu sebab ia bergantung kepada lokasi. Jika selesa dan sesuai, barulah saya akan bawa anak.

“Saya bukan tak percaya pada pengasuh atau pembantu rumah, tetapi saya selalu fikir kalau kasih sayang seorang ibu itu akan lebih untuk anak sendiri berbanding orang lain.

“Bila anak ada dekat dengan saya, barulah saya boleh bekerja…hati pun jadi tenang dan selesai masalah,” ujarnya.

Untuk rekod, Emma mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Muhammad Shazil Azhar, 33, pada 20 Februari tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Shariq Gabriel yang berusia setahun.

Agak lama tidak berlakon, kini Emma kembali aktif semula dan membintangi drama adaptasi novel berjudul I Promise, Janji Anaqi arahan Hadith Omar yamg sudah menemui penonton sejak 6 Disember lalu, pukul 11 malam di Astro Ria.

Drama sebanyak 28 episod yang mengangkat kisah isteri didera suami itu menggandingkan Emma sebagai Hayla bersama Sharnaaz Ahmad sebagai Anaqi dan Talha Harith (Zafran).


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram