PENGARUH ekstremisme yang kerap dikaitkan dengan agama, etnik dan bangsa dalam penyebaran ideologi dapat dihalang sekiranya semua pihak memainkan peranan dalam memupuk nilai-nilai kesepaduan sosial seiring dengan pembinaan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negara, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, kesepaduan sosial merupakan perkara penting yang perlu dibincang dan diserapkan dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

Katanya, ini bagi mengekang pengaruh ekstremisme ganas selain mencerminkan situasi harmoni di sesebuah komuniti.

“Dalam konteks pencegahan terorisme dan ekstremisme, naratif yang sering diketengahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab terutamanya di Malaysia adalah bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat dan melemahkan perpaduan negara.

“Di sinilah letaknya peranan semua pihak untuk menangkis naratif-naratif tersebut.

“Tema kesepaduan sosial yang diangkat adalah seiring dengan aspirasi Kementerian Luar Negeri iaitu menyuburkan falsafah hidup bersama dalam budaya damai atau ‘peaceful coexistence’.

“Ini untuk menggalakkan budaya dialog di setiap lapisan masyarakat,” ujarnya ketika perasmian Forum Prinsip Kesepaduan Sosial Dalam Membina Keluarga Malaysia: Realiti dan Cabaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pagi ini.

Forum Prinsip Kesepaduan Sosial Dalam Membina Keluarga Malaysia: Realiti dan Cabaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pagi ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia, Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Datuk Ganeson Sivagurunathan berkata, perpaduan dapat dijiwai sepenuhnya oleh komuniti melalui pendidikan dan penghayatan nilai kemanusiaan.

Tambahnya, SEARCCT turut menggunakan pendekatan terkini dalam melaksanakan program pencegahan terhadap segala jenis keganasan dengan kerjasama agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil, media dan pemegang taruh dalam mengukuhkan ketahanan masyarakat (community resilience).

“Usaha mencegah terorisme dan ekstremisme ganas bukan sahaja terletak di pihak berkuasa. Malah langkah yang lebih menyeluruh untuk menanganinya memerlukan gabungan dan kerjasama pelbagai pihak.

“Penglibatan pemegang taruh dalam isu pencegahan terorisme dan ekstremisme ganas ini dapat memastikan usaha-usaha tersebut menjadi lebih komprehensif, inklusif dan efisien,” ujar Ganeson.

Forum ini turut dihadiri oleh tiga panel terkenal iaitu Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood (Pengarah Sunway Centre for Planetary Health), Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria (Professor Kehormat Pusat Kajian Etnik, UKM), Kuhan Pillai (Aktivis Belia) dan bersama moderator hebat Lilianne Fan (Geutanyoe Foundation).

Menurut Dr. Denison, kesepaduan sosial dapat dilihat dari beberapa sudut iaitu media sosial, arena politik, bangsa dan perkauman.

“Soalan ini tepat untuk situasi masa sekarang berkenaan isu perkauman dan kesepaduan sosial masih lagi merujuk kepada satu isu yang besar atau tidak.

“Realitinya, boleh dibandingkan melalui beberapa sudut iaitu dari segi sosial media, arena politik, bangsa dan perkauman.

“Isu ini sering didebatkan dari perspektif politik. Arena politik, perbincangan di parlimen, di luar Parlimen menunjukkan isu bangsa, agama dan bahasa masih lagi menjadi soal yang dipolitikkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu.

“Tetapi apabila pergi ke akar umbi, biasanya isu-isu politik berkenaan bahasa, bangsa, agama tidak menjadi satu isu yang besar. Isu-isunya di akar umbi adalah isu akses kemajuan, pekerjaan dan isu kemiskinan.

“Walaupun kerajaan Persekutuan membuat banyak aspek berkaitan ini, isu yang penting bagi mereka adalah isu kehidupan. Tetapi yang di atas, selalunya isu-isu politik,” jelasnya.

Tambah Dr Denison lagi, beliau berpandangan terdapat empat peringkat kesepaduan sosial iaitu toleransi, kefahaman, penghargaan dan penerimaan.

Dr. Jemilah turut menyokong kenyataan tersebut dan menambah bahawa penerimaan kepada kepelbagaian dalam masyarakat adalah penting.

“Kita perlu mempunyai sikap toleransi oleh kerana perlu menerima hakikat bahawa kita berbeza. Penerimaan itu sangat penting bagi kepelbagaian yang wujud dari segi idea, budaya dan sebagainya,” ujarnya.

Pada 7 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia merangkumi dokumen yang pragmatik dalam mencapai matlamat utama bagi memupuk masa depan yang lebih aman.

Kerangkan kerja tersebut memberi tumpuan kepada lapan keutamaan di mana Keutamaan Keenam menggalakkan falsafah hidup bersama secara aman antara negara, rakyat yang berbeza kepercayaan, agama dan budaya serta menggalakkan multilateralisme.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram