PENUBUHAN sayap Srikandi Muda yang akan dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahad ini disifatkan sebagai pengiktirafan besar parti tersebut kepada golongan wanita.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usul yang dibawa sendiri Majlis Pimpinan Bersatu (MPT) untuk meminda Perlembagaan Bersatu itu merupakan sejarah baharu apatah lagi buat parti yang masih muda.
Menurut Ahmad Faizal, ia juga menjadi tanda bahawa Bersatu semakin diterima rakyat dan mendapat sokongan besar.
“Dalam perhimpunan agung tahunan ini, kita akan menempa satu lagi sejarah apabila kita akan membawa satu usul baharu yang dibawa sendiri MPT iaitu untuk menubuhkan sayap Srikandi Muda.
“Kita amat berbangga kerana sebagai parti masih muda, kita sudah ada dua sayap iaitu Srikandi dan Armada serta dua lagi sayap iaitu Bersekutu dan jika diluluskan iaitu Srikandi Muda.
“Ini merupakan tanda bahawa Bersatu semakin diterima rakyat dan sokongan juga makin meningkat,” katanya dalam sidang akhbar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut memaklumkan ucapan dasar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjadi agenda penting dalam perhimpunan kali ini.
Baca artikel berkaitan: [VIDEO]: Ahmad Faizal ajak anak muda sertai KayuhLasak Shapadu Putrajaya esok
Kata beliau, semua ahli Bersatu menjangkakan Muhyiddin akan menyentuh mengenai prinsip asas parti tersebut selain situasi politik semasa.
Ahmad Faizal turut menjangkakan Muhyiddin akan menekankan asas perjuangan Bersatu dari segi agenda memegang amanah, menjaga integriti dan tadbir urus baik yang menjadi tawaran parti berkenaan.
“Bukan saya sahaja tetapi semua perwakilan Bersatu seluruh negara ternanti-nanti ucapan dasar Presiden (Muhyiddin).
“Kami menjangkakan ucapan beliau akan menggariskan perkara penting yang akan menjadi panduan bagi semua ahli Bersatu seperti prinsip asas dan situasi politik semasa terutama dari segi pergerakan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan dalam kerajaan,” jelas beliau.
Seramai 1,600 perwakilan Bersatu dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan agung tahunan yang diadakan secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) selama dua hari hingga Ahad.
Perhimpunan akan dimulakan dengan perasmian perhimpunan sayap-sayap parti iaitu Armada dan Srikandi oleh Ahmad Faizal, esok.
Ia diikuti perhimpunan agung parti dengan ucapan dasar Muhyiddin pada hari Ahad.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

