SIKAP menuding jari dan terlalu banyak menyalahkan sesama sendiri dilihat menjadi punca kekalahan Perikatan Nasional (PN) terutama calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan lalu.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jentera Bersatu tidak melihat kepada sumbangan sendiri dan lebih suka menuding jari terhadap individu yang melakukan kerja.
Sebagai peneraju jentera PRN Melaka, Ahmad Faizal malah berkata, Bersatu juga masih mengamalkan model politik lama apabila berkumpul sesama sendiri tanpa turun mendekati rakyat.
“Saya ingin berterus terang, di peringkat awal saya dan ramai rakan-rakan pimpinan dapat menghidu ‘udara kemenangan’.
“Penerimaan rakyat dan pengundi kepada ‘Abah’, saya sifatkan luar biasa. Kita dapat rasa penerimaan positif rakyat.
“Tapi sayang, hari demi hari, kita mula melihat kelompongan dan kelemahan kita di sana-sini. Kita banyak menuding jari tapi tidak lihat kepada sumbangan kita sendiri.
“Kita juga selalu seronok dengan kumpulan sendiri tapi tidak turun mendekati pengundi. Tidak semua, saya boleh kenal siapa yang betul-betul buat kerja tapi masih ramai yang amal cara politik cara lama ini,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Penubuhan Srikandi Muda pengiktirafan Bersatu kepada wanita
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Tahunan (PAT) sayap Armada dan Srikandi Bersatu, hari ini.
PRN Melaka menyaksikan PN tewas di 26 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dengan Bersatu yang mempertaruhkan 15 calon mewakili PN hanya menang dua kerusi.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal menegaskan, kelemahan ketara dalam PRN Melaka turut disebabkan sikap menyalahkan jentera tempatan.
Pada masa sama, beliau berkata, Bersatu juga masih kekurangan ilmu pilihan raya.
“Kita perlu akui kita tidak kuat di semua tempat. Ada kawasan, kita perlukan pemerkasaan rakan-rakan daripada luar. Semangat kebersamaan mesti ada, jangan terlalu pantas membuat tuduhan dan serangan. Ambil masa untuk meneliti keadaan.
“Ada juga pandangan yang mengatakan kita masih kekurangan ilmu pilihan raya. Kita suka jadi VIP. Kita perlu kembali kepada asas. Asas ilmu pilihan raya ini ada dua dan saya sendiri buat kedua-duanya. Ilmu susun kerusi dan letak bendera. Ini kita mesti fasih.
“Semangat berpasukan kita juga masih longgar, berdasarkan maklum balas di bawah, mereka suka cara kita berkempen iaitu pendekatan sederhana, santai dan tenang tetapi jangkauan kita tidak merata,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

