Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di daerah Klang pagi ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.

Menurut Perdana Menteri, bayaran bantuan ini akan disegerakan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana ini.

“Biasanya selepas pulang ke rumah baru bayaran dibuat. Kita akan dapat senarai nama dari Pejabat Daerah.

“Namun kita akan segerakan, kita tak nak lama. Bila mangsa balik ke rumah macam-macamlah diperlukan mereka. Banyak kerosakan pastinya dialami mangsa.

“Mungkin tak cukup, tetapi ini bantu terutama aspek barangan keperluan asas,” katanya dalam sidang media selepas meninjau mangsa banjir di daerah Klang hari ini.

Kata Perdana Menteri, sejak September 2021, Kerajaan telah meningkatkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada RM1,000, dari RM500 sebelum ini bagi setiap isi rumah.

“Seperti sedia maklum, kerajaan pada September 2021 telah meningkatkan kadar bantuan wang ihsan iaitu RM1,000 bagi setiap isi rumah, dan kita akan mempercepatkan bayaran kepada kawasan terlibat banjir seperti Selangor dan enam negeri yang lain,” kata beliau.

Baca: Cuti kecemasan kepada penjawat awam terkesan banjir – PM

[VIDEO] PM arah bantuan segera, semua kementerian mesti lipat ganda usaha operasi banjir

Tambah Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain.

Beliau berkata, kerajaan memahami bahawa banyak kerosakan berlaku akibat banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

“Peruntukan RM100 juta untuk mangsa banjir di seluruh negara. Tak kiralah negeri mana.

“Ini peruntukan awal, kalau tak cukup kita akan tambah,” katanya.

Sementara itu, beliau juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan supaya institusi perbankan bersedia untuk menawarkan program bantuan pembayaran bagi peminjam-peminjam yang terkesan akibat banjir.