Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

EMPAT agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana banjir seluruh negara telah diarahkan memberi laporan harian kepada rakyat mulai hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat agensi terbabit adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Perdana Menteri, penglibatan barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana perlu sentiasa bersedia.

“Saya telah mengarahkan Nadma, PDRM, JBPM dan ATM untuk membuat laporan harian kepada seluruh Keluarga Malaysia mulai hari ini.

“Penglibatan daripada seluruh barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana ini harus berada di tahap sentiasa bersedia.

“Saya yakin laporan ini dapat memberi gambaran jelas situasi terkini bencana di seluruh negara,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Baca artikel berkaitan: Empat inisiatif ringankan beban rakyat, PMKS terkesan banjir – PM

Dalam hantaran di Facebook pula, Ismail Sabri memaklumkan sidang media Op Banjir itu bertujuan memastikan rakyat mendapatkan maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir.

“Rakyat perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

“Saya telah mengarahkan kesemua agensi yang terlibat dengan bencana banjir iaitu PDRM, ATM, JBPM dan lain-lain mengadakan sidang media harian Op Banjir mengenai situasi semasa bencana banjir seluruh negara.

“Sidang media Op Banjir ini bertujuan untuk memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir serta persediaan-persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana,” jelas beliau.

Sidang akhbar harian itu dimulakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryll Sani Abdullah Sani pada pukul 10 pagi diikuti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada 12 tengah hari.

Ia kemudian diteruskan oleh Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pukul 2 petang dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr. Aminuddin bin Hassim pada 4 petang.

Keempat-empat sidang akhbar itu dimulakan hari ini berlangsung di Bilik Operasi Nadma, Taman Sri Muda, Shah Alam.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram