PELAKON dan pelawak veteran, Ebby Yus diuji sekali lagi apabila dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah paru-paru berair sejak lima hari lalu.
Menurut Muhammad Yunus Abdul Rashid atau mesra disapa sebagai Ebby Yus, dia baru selesai menjalani ujian imbasan sinar-X dan masih menunggu keputusan daripada doktor.
“Keadaan sekarang okey. Doktor cuma cakap paru-paru saya ada air dan setakat ini, saya perlu ditahan di hospital untuk rawatan lanjut.
“Harap-harap keputusan imbasan nanti ‘bersih’. Kalau tidak, besar kemungkinan, paru-paru kena cucuk atau tebuk untuk keluarkan air bagi mengelakkan apa-apa jangkitan yang lebih teruk.
“Saya harapkan orang ramai mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan saya. Saya taknaklah orang cakap saya cerita ini sebab nak raih simpati tapi saya percaya dengan kuasa doa, insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya menerusi laporan Kosmo! Online.
Tambah Ebby, dia reda dengan takdir Tuhan dan percaya bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya.
“Saya reda dengan takdir Allah. Tapi, saya reda bukan bermakna saya berpeluk tubuh. Saya percaya apa yang berlaku, ada hikmahnya.
“Kita merancang tetapi yang tentukan segala-galanya Allah SWT. Kalau Dia izinkan rasa sakit itu sembuh atau kepayahan hidup itu diangkat, dengan izin-Nya pasti ia akan berlaku,” ujarnya positif.
Terdahulu, menerusi laporan URTV, Ebby Yus merupakan salah seorang selebriti yang turut terkesan dengan banjir apabila rumah yang dibina di kawasan Kuala Langat, Selangor musnah dihanyutkan air.
ARTIKEL BERKAITAN : Ebby Yus ‘putih mata’ rumah hasil keringat 30 tahun musnah angkara banjir
Lebih pilu, rumahnya yang menelan belanja sekitar RM200,000 itu hanya berbaki 10 peratus lagi untuk disiapkan sepenuhnya.
Malah pada Oktober lalu, Ebby mengalami serangan jantung ketika dalam perjalanan mengikuti rombongan umrah ke Mekah.
SUMBER : https://www.kosmo.com.my/2021/12/27/rumah-ditelan-banjir-paru-paru-ebby-yus-pula-mungkin-ditebuk/

