35,719 individu terima manfaat Program Kasih PRIHATIN-MAIWP

Dari Penulis

SERAMAI 35,719 penerima di bawah kategori asnaf dan terkesan dengan pandemik COVID-19 telah menerima manfaat dari Program Kasih PRIHATIN-MAIWP hasil kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Program yang berlangsung selama tiga bulan itu mendapat kerjasama penuh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN), Pertubuhan Pendidikan Kekeluargaan dan Pembangunan Masyarakat (PEDIKMA) dan Pertubuhan Badan Amal Warga Asnaf Malaysia (BAWA).

Pada Majlis Penutup Program Kasih PRIHATIN-MAIWP yang berlangsung di Bandar Barul Sentul, Kuala Lumpur, seramai 400 penerima asnaf hadir.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (DASAR) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd Jaafar Embong, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi.

Pada waktu sama, turut diadakan penyerahan replika cek daripada DXN sempena Misi Khas PRIHATIN x DXN Pasca Banjir berjumlah sebanyak RM1.56 juta di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

Kasih PRIHATIN-MAIWP merupakan satu inisiatif oleh PRIHATIN dengan kerjasama dan sokongan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menunjukkan keprihatinan Kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini.

Program ini dilaksanakan bagi menyahut seruan kerajaan dalam mendepani cabaran bersama dan hidup sebagai ‘Keluarga Malaysia’ yang membantu antara satu sama lain.

Sementara itu, menurut Mohd Jaafar, beliau melihat hasil keprihatinan MAIWP dalam menyalurkan dana kepada PRIHATIN ini wajar dicontohi oleh setiap organisasi korporat mahupun agensi kerajaan yang berkemampuan bagi menyuntik dana kewangan kepada pertubuhan atau yayasan yang berteraskan kebajikan.

“Ini kerana secara tidak langsung akan menjadi pendorong kepada mereka menjalankan gerak kerja dengan lebih pantas dan turut menjadi pemangkin semangat kepada penerima yang terkesan dengan pandemik selama ini,” katanya.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar pula berkata, beliau berasa amat dukacita dan terkesan melihat nasib masyarakat yang dilanda bencana banjir yang menyebabkan kerosakan harta benda, kehilangan tempat tinggal dan juga kehilangan ahli keluarga.

“Bencana banjir yang melanda kita pada tahun ini amat luar biasa walaupun ia berlaku hampir setiap tahun.

“Saya berharap badan-badan organisasi turut sama menyumbangkan bantuan kepada mereka bagi meringankan beban yang dihadapikhususnya mangsa-mangsa banjir.

“Justeru, Bakul Kasih PRIHATIN-MAIWP ini diharap mampu meringankan beban kepada mereka yang terkesan dan sedikit sebanyak mampu mengurangkan sedikit kesengsaraan kepada penerima-penerima ini,” ujarnya.

Pada majlis ini, DXN turut berbesar hati untuk menyumbangkan dana kewangan dalam jumlah yang besar kepada PRIHATIN untuk kegunaan Misi Khas sempena PRIHATIN x DXN pasca banjir yang telah menyebabkan beberapa isi rumah dan kawasan terjejas di Malaysia.

Sumbangan syarikat DXN yang diasaskan oleh Datuk Dr. Lim Siow Jin untuk Misi Khas Pasca Banjir, Kasih Prihatin DXN.

Dalam pada itu, syarikat DXN yang diasaskan oleh Datuk Dr. Lim Siow Jin merupakan bisnes yang juga menumpukan pada penanaman, perkilangan dan pemasaran makanan kesihatan tambahan dan mempunyai pusat operasi yang bertapak di Malaysia yang telah beroperasi di serata dunia.

DXN juga terkenal sebagai sebuah bisnes Genoderma.

PRIHATIN melihat hasil hubungan strategik ini mampu diperkasa melalui program-program yang akan dilaksanakan melalui kerjasama bersama agensi kerajaan mahupun badan pertubuhan bukan kerajaan.

Di samping itu, menerusi kerjasama strategik yang dijalinkan bersama Pertubuhan Kasih Neelofa, Pertubuhan Pendidikan Kekeluargaan dan Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Badan Amal Warga Asnaf Malaysia telah memanfaatkan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti warga asnaf, anak yatim, golongan B40 dan golongan yang terkesan dengan wabak pandemik dan banjir yang melanda baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, Penasihat Ekonomi & Antarabangsa PRIHATIN, Datuk Abdul Malik Abdullah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Haji Yahya, Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kekeluargaan dan Pembangunan Masyarakat, Prof. Datuk Dr. Norhasni Zainal Abidindan dan Tuan Amiludin Latip (Presiden BAWA).


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Inisiatif Smart Lane kurangkan kesesakan trafik sehingga 50 peratus

INISIATIF Smart Lane secara keseluruhannya telah menunjukkan keberkesanan yang tinggi dan berjaya mengurangkan kadar kesesakan trafik antara 30 hingga...

More Articles Like This