BANJIR kali ini sememangnya memberi kesan besar kepada mangsa. - GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGUMUMAN bantuan Banjir Keluarga Malaysia terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri malam tadi menunjukkan kerajaan berusaha mengimbangi antara keperluan mendesak semasa dan tanggungjawab memelihara masa depan rakyat serta negara.

Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan, berkata sebelum ini timbul kekhuatiran berkenaan tawaran seperti pinjaman daripada TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) walaupun pada kadar sifar faedah dan moratorium automatik akan menambah hutang mangsa banjir.

Beliau berkata, pandangan itu ternyata diambil kira dan sebagai tambahan, kerajaan tampil dengan bantuan berbentuk suntikan perbelanjaan daripada kerajaan, bukannya simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, jumlah bantuan tunai dan baucar tunai kepada mangsa banjir juga mencecah RM10,000 malah jika berlaku kerosakan atau kemusnahan kediaman, jumlahnya adalah lebih besar sehingga RM61,000.

“Sekali gus ia mengelak mangsa banjir yang masih mempunyai simpanan KWSP perlu terus meminjam daripada masa depan sendiri dan terlepas peluang pendapatan dividen tahunan KWSP.

“Maka, dengan pengumuman malam ini (malam tadi), kerajaan dilihat sedang berusaha mengimbangi antara keperluan mendesak semasa dan tanggungjawab sesebuah kerajaan memelihara masa depan rakyat dan negara.

“Disamping itu, bantuan yang diumumkan meliputi semua mangsa banjir termasuk mereka yang bukan pencarum KWSP atau yang telah mengeluarkan caruman melalui tiga skim sebelum ini (i-Lestari, i-Sinar, i-Citra) sehingga RM19,500 seorang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas Tahun Baharu 2022 malam tadi mengumumkan lima insentif Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah, malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu mengalami kemusnahan rumah.

Kata Perdana Menteri, ia adalah usaha mengurangkan bebanan rakyat tanpa mengeluarkan wang simpanan KWSP.

Shahril Sufian dalam pada itu, berkata segala perancangan yang ditekankan semula oleh Perdana Menteri berkenaan keutamaan 2022 sebagai tahun merancakkan kembali ekonomi makro dan ekonomi rakyat menunjukkan beberapa tanda positif mutakhir ini.

Katanya, ia meliputi peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pengurangan pengangguran serta kenaikan nilai jualan borong dan runcit.

“Semoga segala perancangan yang mengambil kira segenap suara dan sudut dapat dilaksanakan secepatnya serta sebaiknya bagi memberi sinar baharu kepada rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Shahril Sufian berharap penularan varian Omicron COVID-19 dapat diurus demi merealisasikan harapan kebangkitan ekonomi dunia, khususnya Malaysia pada 2022.

Katanya, tidak dinafikan timbul keresahan akibat angka-angka penularan varian Omicron dan kebolehjangkitan tinggi yang disaksikan di negara lain sehingga melepasi rekod sebelum ini.

Misalnya, Amerika Syarikat (589,000 kes harian baharu), Perancis (206,000) dan United Kingdom (188,0000).

“Namun kita juga wajar mengambil maklum petanda awal dari negara lain turut menggambarkan bahawa varian ini mungkin tidak ‘seganas’ varian lain, dengan kadar kemasukan hospital dan kematian lebih rendah daripada sebelumnya,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram