PENYANYI Ahmad Shahir Zawawi atau lebih dikenali sebagai Shahir, 33, berkongsi kisah duka apabila dia pernah ditipu oleh syarikat pembekal sarung tangan sehingga mengalami kerugian berjumlah RM12 juta.
Menurut Shahir, sebelum ini dia telah melibatkan diri dalam dunia perniagaan bersama rakan kongsi dengan membekalkan barang-barang perubatan kepada pihak hospital.
Namun, nama syarikat bagi rakan kongsinya tidak didedahkan dan dirahsiakan untuk menjaga sensitiviti dan privasi syarikat tersebut.
“Pada Oktober 2020 iaitu pada musim pandemik, saya bersama rakan kongsi ada membuat perniagaan untuk membekalkan sarung tangan kepada pihak hospital.
“Akan tetapi, sebaik sahaja menerima 400,000 ribu kotak di pelabuhan, kami mendapati isi kandungan kotak itu kosong dan anggaran kerugian berjumlah RM12 juta,” katanya kepada URTV.
Tambah bekas juara program realiti Akademi Fantasia Musim kelapan (AF8) itu lagi, tindakan undang-undang telah diambil dan masih dalam proses bahkan, pihak yang melakukan penipuan itu telah dikenal pasti.
Malah, pihak hospital sudah sedia maklum berhubung dengan kes penipuan ini dan tidak meletakkan kesalahan tersebut di pihak Shahir serta rakan kongsinya.
“Kami telah ambil tindakan undang-undang, sebab perkara tersebut telah melibatkan orang lain dan perkara ini masih dalam proses kerana ia mengambil masa.
“Pihak hospital tidak menyerang pihak kami kerana mereka sudah sedia maklum bahawa perkara ini bukan salah daripada pihak kami dan kami tahu siapa yang menipu kami,” ujarnya.
Bagaimanapun, Shahir turut meluahkan rasa syukur apabila dia mendapat peluang daripada pihak TV Al Hijrah untuk menyertai program realiti Hijrahkan Laguku selepas apa yang telah dilaluinya selama ini.
“Alhamdulilah, rezeki Allah itu luas, tiba-tiba saya mendapat panggilan untuk program Hijrahkan Laguku ini. Saya sangat bersyukur,” luahnya.
Kelmarin, Shahir telah dinobatkan sebagai Juara program realiti Hijrahkan Laguku bagi musim pertama yang disiarkan langsung dari Studio TV Al Hijrah dan sekaligus membawa pulang wang bernilai RM100,000.

