AKTRES jelita, Erra Fazira berkongsi perasaan gembira apabila menerima perkhabaran mengenai perancangan penyanyi Shahir Zawawi yang akan berkahwin tidak lama lagi.
Sebagai seorang yang pernah rapat dengan Shahir satu ketika dulu, dia melihat lelaki itu sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami.
Malah, Erra atau Fazira Wan Chek,48, turut mendoakan agar mahligai perkahwinan penyanyi itu akan berkekalan sehingga ke jannah.
“Sejujurnya sebelum pihak media dapat ‘menghidu’ mengenai perancangan dia mahu berkahwin, sebenarnya saya dah tahu dulu.
“Tetapi selepas sahaja berita tersebut dilaporkan media, saya ada hubungi dia dan ucapkan tahniah.
“Sudah tentu saya gembira mendengar perkhabaran itu. Bila saya mesej, dia bercerita semuanya kepada saya. Tak ada sorok-sorok.
“Saya tengok dia sudah cukup bersedia untuk bergelar suami. Harapnya perkahwinan itu nanti adalah yang pertama dan terakhir untuk dia dan pasangannya,” katanya kepada URTV.
Meskipun penyanyi itu akan berkahwin dengan wanita lain, namun hubungan sebagai rakan baik akan tetap diteruskan seperti biasa.
“Saya dengan dia tiada hubungan istimewa tetapi masih ada yang kaitkan kami. Biarpun dia akan berkahwin, hubungan sebagai rakan tetap okay.
“Kami masih kekalkan hubungan baik…kami tidak bermasam muka. Saya nak elak daripada bermusuhan, buat apa kita nak bermusuh,” ujarnya.
Sebelum ini, nama Erra dan Shahir sering dikaitkan sedang hangat bercinta meskipun mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hubungan istimewa tersebut.
Difahamkan, Shahir akan bertunang pada Julai depan dan akan berkahwin pada tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Erra dan Datuk Awie akan bergandingan sekali lagi dalam Showcase Awie Romantika yang bakal diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Ogos ini.
Tiket menyaksikan showcase dijual pada harga Platinum RM12,000 (semeja 10 orang), Gold RM8,000 (semeja 10 orang), Silver RM5,000 (semeja 10 orang) dan Bronze RM3,500 (semeja 10 orang).
Untuk tempahan tiket boleh menghubungi Perry Hussin (013-8688282), Fernalis (013-8034232) dan Hana (019-6928417).

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

