Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan kesediaan untuk disiasat mana-mana pihak atau organisasi susulan kenyataan dikeluarkan membabitkan dakwaan salah laku terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pada masa sama, Abu Zahar turut meluahkan kekesalan berhubung kenyataan media dikeluarkan enam anggota LPPR, Sabtu lalu yang tidak bersetuju dengan apa yang diungkapkannya dalam sidang akhbar khas pada hari Rabu lalu.

Menurut Abu Zahar, LPPR sepatutnya mengadakan perjumpaan secara tertutup pada pukul 10 pagi, hari ini bagi membincangkan isu berkenaan.

Namun begitu, beliau berkata, kesemua anggota LPPR itu telah mengadakan mesyuarat terlebih dahulu tanpa pengetahuannya, Sabtu lalu dan mengeluarkan kenyataan media.

“Pada hari Jumaat pukul 6.19 petang, Datuk Seri Azman Ujang telah menghantar pesanan WhatsApp kepada saya berbunyi “the issue is getting hotter and hotter“.

“Kemudiannya, Datuk David Chua Kok Tee telah memberi respons kepada teks Azman pada pukul 6.22 petang bahawa LPPR perlu berjumpa dan berbincang isu tersebut secepat mungkin serta mengeluarkan kenyataan sebagai pendirian awal minggu hadapan.

“Pada pukul 6.27 petang, Tan Sri Ismail Omar pula membalas dengan teks berbunyi “Yes we’re meeting on 11 Jan. Need to address relevant issues“.

“Atas pandangan dan permintaan mereka, saya telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan tertutup pada pukul 10 pagi, hari ini di Pejabat Akademi SPRM di Jalan Duta, Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Siasatan Azam Baki: Anggota LPPR tidak sependapat dengan kenyataan Abu Zahar

Bagaimanapun, Abu Zahar menjelaskan, kesemua enam ahli LPPR itu telah mengadakan mesyuarat terlebih dahulu dan mengeluarkan kenyataan media, Sabtu lalu.

Abu Zahar turut menegaskan apa yang penting ketika ini adalah kedudukan institusi SPRM untuk mendapat sokongan daripada rakyat.

“Sebagaimana yang telah saya tegaskan daripada mula-mula lagi bahawa yang lebih penting ialah kedudukan institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat.

“Tujuan utamanya memerangi gejala jenayah rasuah dan salah guna kuasa tanpa khuatir, takut atau memihak kepada sesiapa,” katanya.

Sabtu lalu, enam ahli LPPR menganggap kenyataan Abu Zahar berhubung kontroversi melibatkan Azam tidak menggambarkan pandangan sebenar mereka.

Malah, kesemua enam ahli LPPR itu berkata, kenyataan Abu Zahar dalam sidang akhbar Rabu lalu adalah pandangan peribadi Pengerusi LPPR itu semata-mata.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Tan Sri Ismail Omar; Datuk Seri Azman Ujang; Datuk Seri Akhbar Satar; Datuk Dr Hamzah Kassim; Datuk David Chua Kok Tee; dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Dalam persidangan media Rabu lepas Abu Zahar berkata selepas perbincangan panjang lebar susulan perjumpaan dengan Azam Baki pada 24 Nov, Lembaga itu mendapati bahawa Azam tidak memiliki manfaat kewangan dan atau kepentingan berhubung isu saham yang dimilikinya dan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Azam.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram