Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Musa telah bertanya kepada Tuhannya tentang enam perkara menurut sangkaannya bahawa keenam-enam perkara itu adalah semata-mata untuknya dan yang ketujuh pula paling tidak disukai.

Pertama : Nabi Musa bertanya, “Wahai Tuhanku, siapakah di kalangan hamba-hamba-Mu yang paling bertakwa?”

Allah S.W.T berfirman, “Orang yang berzikir mengingati Allah dan tidak lupa.”

Kedua : “Siapakah di kalangan hamba-hambaMu yang paling banyak memperoleh petunjuk?”

Allah berfirman, “Orang yang mengikut petunjuk.”

Ketiga : “Siapakah di kalangan hamba-hambaMu yang paling baik hukumannya?”

Allah berfirman, “Orang yang menghukum untuk manusia sebagaimana dia menghukum ke atas dirinya sendiri.”

Keempat : “Siapakah di kalangan hamba-Mu yang paling berilmu?”

Allah berfirman, “Orang yang tidak pernah kenyang dengan ilmu, mereka menghimpunkan ilmu manusia kepada ilmunya.”

Kelima : “Siapakah di kalangan hamba-hambaMu yang paling mulia?”

Allah berfirman, “Orang yang apabila dia berkuasa (terhadap orang lain) maka dia akan mengampuni (kesalahan mereka walaupun dia berkuasa untuk menjatuhkan hukumannya ke atas mereka).”

Keenam : “Siapakah di kalangan hamba-hambaMu yang paling kaya?”

Allah berfirman, “Orang yang redha dengan apa yang dikurniakan kepadanya.”

Ketujuh :  “Siapakah di kalangan hamba-hambaMu yang paling fakir?”

Allah berfirman, “Orang dibenci oleh orang lain.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bukanlah kekayaan itu kekayaan harta tetapi kekayaan jiwa. Apabila Allah S.W.T inginkan kebaikan untuk hamba-Nya, Dia akan menjadikan si hamba kaya jiwanya dan meletakkan di dalam hati si hamba itu ketakwaan terhadap-Nya.

“Apabila Allah ingin keburukan bagi seorang hamba, Allah menjadikan kefakirannya terbentang di hadapan matanya (sehingga beliau tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan padanya).” Hadis Hasan / HR Ibnu Hibban.

Renungan : Apabila seseorang itu berpuas hati dan mampu bersyukur dengan apa sahaja yang dikurniakan oleh Allah ke atasnya, maka hatinya akan lapang dan jauh daripada gundah gulana. Mereka tidak akan berasa risau bagaimana untuk menambahkan kekayaan. Apabila fikiran berhenti daripada memikirkan cara untuk menambahkan kekayaan maka anggota badan akan rehat daripada segala kesibukan. Apabila lahirnya rasa syukur dengan apa sahaja yang dimiliki maka jiwa tidak akan memberontak dan hati tidak akan cemburu apabila melihat kelebihan yang ada pada orang lain.

(Sumber: Mestika Hadis-hadis Al-Qudsi Sahih, Isomuddin Sayid Abdul Robbuni As-Soobaathi).

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen