Zaman sekarang, boleh kata semua peringkat usia di seluruh dunia memakai seluar jeans. Seluar kain denim ini salah satu pakaian ringkas yang paling popular pemakaiannya.

Tetapi, jangan cuba-cuba pakai jeans di Korea Utara ya. Negara ini memang dikenali dengan bermacam-macam peraturan pelik. Beberapa tahun sudah, pemerintah negara paling tertutup di dunia itu telah menggubal undang-undang melarang rakyatnya memakai jeans dan bertindik.

Sebelum itu, pemimpin negara itu yang dikenali sebagai diktator brutal telah menguatkuasakan beberapa peraturan untuk menyekat kebebasan rakyatnya. Antara perkara yang diharamkan termasuklah melarang rakyatnya menonton sebarang cerita selain propaganda kerajaan.

Seperti televisyen, muzik juga sangat dikawal dan hanya dibenarkan memainkan lagu-lagu yang menaikkan semangat terhadap rejim tersebut. Sesiapa yang melanggar mana-mana peraturan itu, hukuman pasti menunggu.

Begitu juga dengan dasar yang dikuatkuasakan dalam larangan memakai jean. Semua warga di negara republik itu tanpa ada pengecualian, diharamkan daripada berfesyen terutama memakai busana terbuat daripada fabrik jean, baik seluar mahupun baju.

Sekatan itu dibuat sebagai satu langkah untuk menyekat penyebaran budaya Barat daripada terus menular dan mempengaruhi rakyat di negara itu.

Tindakan keras dimulakan yang banyak tertumpu di wilayah Hamgyong Utara dan Yanggang yang terletak berdekatan dengan China.

Sejak awal-awal lagi, dua wilayah itu telah menerima peringatan keras kerana keduanya terletak bersempadan dengan China. Ini kerana penduduk di wilayah itu boleh mengakses maklumat serta trend terkini daripada dunia luar dengan mudah dan cepat.

Hal itu membuatkan pemerintah bimbang. Justeru, bagi mengelakkan orang-orang yang tinggal di kawasan berkenaan daripada terus terdedah kepada dunia luar dan terpengaruh dengan pakaian Barat, maka larangan terhadapnya dikuatkuasakan.

Menurut laporan yang pernah disiarkan Japan Asia Press, peraturan itu telah diperketatkan sebelum Kongres Parti Pekerja ke-7 di Pyongyang, Korea Utara, pada Mei 2016.

Ishimaru Jiro, seorang wartawan Jepun yang bekerja dengan wartawan warganegara Korea Utara memberitahu bahawa semakin ramai orang Korea Utara terpesona dengan budaya Barat terutama dalam pemakaian jean. Dan minat mereka itu dilihat semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, senario tersebut sangat tidak disukai oleh pihak pemerintah.

Bagi membanteras masalah itu, sekumpulan pemuda yang setia kepada Kim Jong-un telah ditugaskan untuk memantau pergerakan rakyat di negara terbabit.  Rimjin-geng, sebuah laman web berita Korea Utara yang disokong oleh AsiaPress berkata, unit itu sering ‘berkeliaran’ di jalanan dengan tujuan memerhati kod berpakaian dengan betul. Bukan itu sahaja, pemeriksaan juga dilakukan ke atas cara penggayaan rambut, bentuk kasut, dan skirt.

Sesiapa yang didapati melanggar peraturan, para pesalah akan dilabel sebagai antisosial. Dan sebagai hukuman, mereka ditangkap dan dihantar ke kem kerja paksa untuk beberapa tempoh yang telah ditetapkan.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen