Selepas diusir Malaysia, staf Kedutaan Korea Utara sibuk berkemas

Dari Penulis

SEJAK pengumuman Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia dan kerajaan Malaysia kemudiannya bertindak mengarahkan semua kakitangan kedutaan itu di Kuala Lumpur meninggalkan negara ini, pejabat kedutaan itu di Jalan Batai di Bukit Damansara menjadi tumpuan media tempatan dan asing.

Seawal 7.30 pagi pemberita sudah berkumpul di luar kedutaan dan setakat 11 ​​pagi tadi kira-kira 40 petugas media tempatan dan antarabangsa dilihat menunggu di luar kedutaan, bagi mendapatkan reaksi pegawai kedutaan selepas semua kakitangan diplomatik dan tanggungan kedutaan itu diarahkan meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 Jam.

Wartawan Bernama di luar kedutaan menyatakan beberapa individu dipercayai kakitangan kedutaan dilihat memasuki bangunan seawal jam 8.15 pagi dan ramai yang didapati berkemas dan membawa barangan masing-masing keluar dari kawasan tersebut.

BERITA BERKAITAN Putus hubungan, Malaysia arah staf Kedutaan Korea Utara tinggalkan KL

Kedutaan dikatakan mempunyai kira-kira 20 kakitangan dan tanggungan.

Terdapat pergerakan kenderaan masuk dan keluar dari bangunan kedutaan sehingga pintu pagar ditutup pada 12.30 tengah hari. Sebuah kereta peronda polis dengan dua anggota dilihat turut berada di luar kedutaan.

Kira-kira 10.20 pagi, sebuah van dipercayai membawa beberapa pegawai perubatan dari hospital swasta dilihat memasuki bangunan kedutaan mungkin untuk melakukan ujian calitan COVID-19 kepada mereka yang akan pulang ke Pyongyang.

Wartawan di luar kedutaan memetik sumber menyatakan kakitangan dan tanggungan mereka kemungkinan besar akan berlepas pulang ke Pyongyang esok melalui Beijing.

Kedutaan itu dikendalikan Kuasa Usaha, Kim Yu Song. Duta terakhir Korea Utara ke Malaysia ialah Kang Chol yang diusir pada 2017 atas kenyataan provokatifnya berkaitan pembunuhan Kim Jong-nam, saudara tiri pemimpin Tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Percubaan Bernama untuk menghubungi Yu Song dan Kaunselor Song Ki Chol sejak Jumaat tidak berhasil.

Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas mahkamah awal bulan ini memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan pengubahan wang haram.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) amat kesal dengan keputusan Korea Utara dan akan menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang, yang operasinya telah ditangguhkan sejak 2017.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata kerajaan Malaysia juga akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan di Kedutaan Korea Utara meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam mulai Jumaat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sindiket potong minyak masak peket tumpas, 59 tan dirampas – KPDN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan satu rangkaian sindiket penyelewengan minyak masak peket bersubsidi yang...

More Articles Like This