LEBIH setahun melahirkan anak sulung, penyanyi dan pelakon Fazura mendedahkan dirinya pernah terkena tempias ‘body shaming’ apabila ada yang mempertikaikan fizikal tubuhnya kelihatan berisi.

Menurut Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin,39, meskipun pahit untuk ditelan, namun dia tetap optimis dan berpendapat hanya ibu yang pernah melahirkan anak akan lebih mengerti apa yang dirasainya.

“Saya turut pernah terkena ‘body shaming’ apabila ada segelintir pihak yang mempersoalkan berat badan saya yang kelihatan bertambah.

“Tetapi kalau hendak diikutkan, ketika itu saya baharu sahaja melahirkan anak.

“Hanya wanita yang sudah bergelar ibu akan faham bagaimana susahnya hendak turunkan berat badan selepas bersalin,” katanya kepada URTV.

Fazura berkata demikian ketika ditemui pada acara An Evening With Fazura & Besties yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, malam tadi.

Walau bagaimanapun, Fazura juga tidak menolak untuk menambah seorang lagi cahaya mata memandangkan anak sulungnya, Nur Fatima Aisya kini sudah berusia 1 tahun tiga bulan.

Katanya, meskipun dia kini sudah kembali mendapatkan berat badan ideal, namun pelakon filem J Revolusi bersyukur kerana tidak mendapat tekanan daripada suaminya, aktor Fattah Amin dalam soal anak.

“Memang ada perancangan nak tambah anak, tapi sebenarnya saya baharu sahaja kuruskan badan!.

“Insya-Allah, kami sedang usahakan (tambah anak). Fattah pula seorang yang sangat memahami dan serahkan soal anak pada saya.

“Dia akan bersedia apabila saya sudah betul-betul bersedia untuk tambah anak. Iyalah, saya yang akan alami fasa mengandung, bersalin dan berpantang,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap soal karier seni, penyanyi lagu Sayangi Dirimu ini mengakui ada menerima beberapa tawaran lakonan selain berhasrat mahu menyudahkan albumnya yang tertangguh.

“Ketika ini saya memang sibuk menguruskan perniagaan namun itu bukan alasan untuk terus meletakkan titik noktah pada karier lakonan dan nyanyian.

“Saya akui ada produksi yang sanggup ikut jadual saya tetapi skrip pula tidak sesuai dengan saya.

“Malah, ada juga tawaran lain yang difahamkan produksi garap khas buat saya. Tetapi saya perlu sesuaikan masa di rumah sebagai ibu dan di lokasi penggambaran sebagai pelakon.

“Kalau boleh saya memang tak mahu tinggalkan anak dalam tempoh yang lama di rumah. Karier nyanyian pula, ada beberapa lagu yang masih belum dilancarkan selain itu album pun belum siap sepenuhnya,” tuturnya.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017.