PELAKON Nur Fazura tidak menafikan perasaannya sebagai seorang ibu terguris apabila melihat anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya menjadi sasaran kejian netizen sejak kecil.
Menurut Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 43, itu sudah berdepan pelbagai kata-kata negatif sejak dilahirkan.
“Perkara ini sebenarnya sudah lama berlaku. Sejak Fatima lahir lagi dia sudah dikecam.
“Waktu kecil dulu, dia belum pandai sebut nama sendiri dan hanya menyebut ‘Nyamma’. Tapi ada pula yang mengejek dengan panggilan ‘nyam-nyam’, ‘bek’ dan ‘Myanmar’.
“Belum masuk lagi komen yang cakap dia, barua, menyemak dan tak patut berada dalam situasi tertentu, sedangkan saya sendiri yang beri keizinan untuk hadir ke majlis tersebut,” katanya kepada URTV.
Fazura berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis meet & greet Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur, hari ini.
Ujar Fazura, kata-kata tersebut sememangnya memberi kesan mendalam terhadap emosi serta menjejntik naluri keibuannya.
“Sudah tentu saya marah dan terluka. Sebab itu saya pertahankan anak saya. Kalau bukan saya yang buat, siapa lagi?
“Satu hari nanti bila dia besar, dia akan tahu siapa yang berdiri mempertahankan dirinya,” ungkapnya.
Dalam perkembangan lain, Fazura turut meluahkan rasa syukur apabila kolaborasinya bersama Jakel menerusi koleksi Fazura X Jakel menerima sambutan luar jangka daripada pembeli.
“Semua ini rezeki dan kuasa Allah. Bukan disebabkan pengaruh saya seorang.
“Saya sendiri tak sangka sambutannya begitu luar biasa sehingga tiga rekaan telah habis terjual,” katanya.
Selain Fazura, acara itu turut disertai oleh tiga lagi duta Jakel iaitu Elly Mazlein, Cik Epal dan Ammar.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

