TIGA maut selepas kereta Proton Saga dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah kereta BMW X1 di laluan bertentangan, di Kilometer 98.5 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.26 pagi tadi, dua lagi mangsa iaitu pemandu dan penumpang BMW X1 mengalami kecederaan ringan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintenda Kamarulzaman Jusoh berkata, setakat ini, hanya identiti pemandu kereta Proton Saga dikenal pasti iaitu Rizal Awing, 18.
Rizal merupakan penduduk Orang Asli dari Kampung Kachong di Muadzam Shah, Rompin.
Dua lagi mangsa yang juga dipercayai keturunan Orang Asli merupakan penumpang kereta Proton Saga.
“Kereta (Proton Saga) dinaiki mangsa dipercayai telah merempuh kereta BMW X1 yang dinaiki dua lelaki yang semasa itu dalam perjalanan dari Negeri Sembilan ke Terengganu.
“Kemalangan menyebabkan bahagian hadapan kedua-dua kereta remuk teruk dengan tiga mangsa yang maut di lokasi kejadian mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca: [VIDEO] 3 maut, 4 cedera dalam kemalangan dekat Kuantan
Kamarulzaman berkata, pemandu BMW yang berusia 31 tahun itu cedera di lutut kiri manakala penumpangnya berumur 37 tahun cedera ringan di bahagian dagu.
“Kedua-duanya beralamat di Seremban, Negeri Sembilan,” kata beliau.
Mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

