MENGURUSKAN anak yang menghidap autisme bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Malah, bagi pelakon Zarina Zainuddin, 51, cara dan kaedah perlu sesuai untuk mengawal anak syurga itu.

Menerusi perkongsian sebuah video pendek yang dimuat naik oleh Zarina di Instagram, dia mendedahkan gelagat anaknya Azil yang sedang tantrum dalam sebuah bilik.

“Salam zohor. Bila dengar azan, Azil terus berlari masuk ke bilik saya dan berhenti tantrum sekejap.

“Kalau dia tengah mengamuk saya pun tak boleh masuk dalam bilik dia, dia seperti nak lepaskan marah dia tanpa ada orang tengok dia,” katanya.

Menurut pelakon Bidadari Kiriman Tuhan itu lagi, dia mengakui membesarkan anak yang menghidap autisme sangat mencabar dan berharap ibu bapa yang mempunyai nasib sepertinya bersabar melalui ujian tersebut.

“Saya harap dan doakan juga buat ibu bapa yang ada anak autisme ini agar lebih banyak bersabar.

“Hanya ibu bapa yang mereka ada di dunia ini untuk mereka lepaskan nasib mereka, bicara hati mereka yang tanpa suara.

“Lihat mata anak kita jika kita marah sekalipun, istifar banyak-banyak ini ujian buat kamu wahai ibu bapa. Allah nak bagi syurga dan ia bukan percuma,” luahnya lagi.

Sementara itu, tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati, rata-rata netizen terharu melihat ketabahan Zarina dan mendokan urusan pelakon itu sentiasa dipermudahkan.

“Semoga Allah merahmati akak sekeluarga dan dikurniakan kesihatan yang baik sentiasa untuk menjaga anak syurga ini,” doa @Fazhannahtouch.

“Alunan azan memang menenangkan jiwa, begitu juga Al-Quran. Semoga dipermudahkan segala urusan puan,” kata @Norapasurie.

“Ya Allah kuat betul kak Zarina, hadapi semua ini tanpa rasa mengeluh atau sebaliknya. Semoga syurga buat akak kelak,” ujar @Iamshymajalil.

Untuk info, selain Azil, Zarina juga memiliki seorang lagi anak lelaki yang merupakan kembar Azil iaitu Azal yang juga penghidap autisme.