PENINGKATAN kes COVID-19 yang disaksikan ketika ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara walaupun varian Omicron lebih mudah merebak.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebahagian besarnya disumbang oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan kepada mana-mana penduduk yang layak terutama warga emas dan individu mempunyai komorbiditi untuk mendapatkan dos penggalak.
Menurut Khairy, peningkatan kes harian akibat varian Omicron bukan sesuatu luar jangka disebabkan ia lebih mudah merebak.
Bahkan, kata beliau, peningkatan kes juga disaksikan di negara-negara lain di seluruh dunia.
“Terdapat peningkatan ketara kes baharu harian bermula awal Februari dengan sejumlah 5,566 kes dilaporkan pada 1 Februari; 5,736 kes pada 2 Februari; 5,720 kes pada 3 Februari; 7,234 kes pada 4 Februari; 9,117 kes pada 5 Februari dan 10,089 kes pada 6 Februari.
“Kebanyakan kes juga merupakan kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan dalam kategori 1 dan 2.
“Daripada jumlah kes pada Minggu Epid 5, sebanyak 42,727 atau 99.2 peratus adalah kategori 1 dan 2 serta hanya 335 atau 0.8 peratus adalah kategori 3 hingga 5,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.
Baca artikel berkaitan: Omicron di mana-mana, ‘bukan konspirasi KKM nak nafi hari raya’ – KJ
Mengulas lanjut, Khairy turut memaklumkan, kadar penggunaan katil COVID-19 di fasiliti sistem kesihatan kekal berada pada tahap yang tidak membebankan.
Kata beliau, sebanyak 3,233 katil digunakan daripada 9,776 yang disediakan dengan kadar penggunaan 33 peratus iaitu peningkatan sebanyak empat peratus berbanding minggu sebelumnya.
Khairy berkata, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) pula adalah 14 peratus atau 116 daripada 850 katil yang disediakan iaitu penurunan sebanyak satu peratus.
“Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi gelombang terbaharu ini, Kementerian Kesihatan juga telah mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF).
“RRTF adalah jawatankuasa khas yang akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan antaranya menambah katil dan mengubah suai katil bukan COVID-19, membina hospital medan dan menyumberluaran pesakit ke hospital swasta.
“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Asmayani Khalib, yang akan membuat pelaporan terus kepada saya,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

