Di Negeri Sembilan khususnya daerah Kuala Pilah dan Johol, terdapat sejenis persembahan muzik yang yang dikenali dengan nama Bongai. Ia suatu kesenian lama lagu-lagu tradisi rakyat Negeri Sembilan.

Generasi sekarang mungkin kurang mengenalinya, tetapi Bongai sangat popular pada zaman dahulu terutamanya dalam majlis-majlis keramaian. Perkataan Bongai itu dikatakan adalah gabungan perkataan ‘Bong’ (seseorang yang dihormati) dan ‘Aye’ (saya).

Nyanyian Bongai ini sama ada secara solo, berduet atau pun kumpulan. Selalunya nyanyian dalam bentuk berbalas pantun, diiringi alat-alat muzik seperti reban, gong, serunai, caklempong, akordian, biola dan salung.

Persembahan Bongai merupakan salah satu kesenian turun temurun masyarakat Negeri Sembilan – Gambar dari JKKN Pemetaan Budaya.

Ada beberapa kisah yang dikaitkan dengan asal usul Bongai ini. Salah satunya ialah cerita mitos yang mengaitkannya dengan seorang puteri bernama Puteri Kanun.

Menurut mitos ini, Bongai berasal daripada lagu yang dinyanyikan untuk menyeru Puteri Kanun. Lagu tersebut dinyanyikan oleh Datuk Sabun, seorang pembesar Datuk Seri Mahagalang, yang merupakan salah seorang keturunan Datuk Perpatih Nan Sebatang di Minangkabau.

Lagu itu dinyanyikan ketika Datuk Sabun menyeru Puteri Kanun di Sungai Jernih. Lagu ini juga dinyanyikan oleh Puteri Kanun ketika memuja Maharaja Jin sewaktu menghantar Datuk Sabun pulang ke kampungnya.

Datuk Sabun ialah seorang peneroka yang membuka negeri di hulu Sungai Muar iaitu di daerah Johol. Suatu malam, dia bermimpi bertemu dengan Puteri Kanun yang tinggal di puncak Bukit Miku di hulu sungai Jernih (sekarang Sungai Inas), salah satu daripada sungai yang mengalir ke Sungai Muar.

Puteri Kanun ingin berjumpa dengan Datuk Sabun kerana hendak memberinya beberapa hadiah. Dalam mimpi itu, Datuk Sabun diajar oleh puteri tersebut mantera yang mesti dinyanyikan ketika menyeru puteri itu apabila tiba di puncak bukit Miku.

Keesokan harinya, Datuk Sabun mudik ke hulu Sungai Jernih. Apabila sampai di satu tempat bernama Jeram Joeng, Datuk Sabun dikejar oleh satu lembaga, yang sebenarnya ialah Maharaja Jin. Dia mendakwa Puteri Kanun itu tunangannya tetapi tidak berupaya bertemu kerana puteri itu sangat sakti.

Maharaja Jin tidak akan melepaskan Datuk Sabun selagi dia tidak menunaikan kemahuannya, iaitu membawa Puteri Kanun bersama ketika pulang dari bukit Miku. Jika Datuk Sabun ingkar, Maharaja Jin itu akan membunuhnya.

Datuk Sabun terpaksa bersetuju, lalu dilepaskan oleh Maharaja Jin itu. Dia meneruskan perjalanan sehingga sampai ke mahligai Puteri Kanun lalu dinyanyikanlah lagu seruan yang diajarkan puteri itu di dalam mimpinya.

Begini lagunya…

Wahai penghuni puncak mahligai, Pancaran gading di hujung lamannya,

Bunga raya di palang atapnya, seperti di dalam mimpi hamba.

Di kuala Sungai Keruh, di kuala Sungai Jernih,

Di anjung rumah poyang Pak Senai,

Tuan puteri mengundang hamba ke hulu air,

Sekarang hamba tunaikan janji

Jika benar sebagai mimpi, zahirkanlah dari tuan puteri,

Untuk menepati janji,

Jika tidak, mohon hamba kembali.

Selesai sahaja matera itu dilagukan oleh Datuk Sabun, muncul seorang perempuan tua mempersilakan Datuk Sabun masuk ke istana itu. Nyanyian Datuk Sabun yang julung-julung kali dilagukan ini dianggap persembahan Bongai yang pertama.

Setelah masuk ke dalam istana, muncul Puteri Kanun yang cantik jelita bertanyakan khabar. Datuk Sabun pun menceritakan perihal hidupnya, membuka tanah dan perjalanannya ke hulu termasuklah peristiwa dia dikejar Maharaja Jin dan janjinya kepada jin itu.

Mitos Puteri Kanun dikaitkan dengan permulaan lagu Bongai. – Gambar Hiasan.

Semasa bersama Puteri Kanun itu, Datuk Sabun diberi hadiah berupa sebatang seruling dan sebuah tetawak (tabuh). Ketika hendak pulang, Puteri Kanun menemani Datuk Sabun kerana kasihan dengan ugutan Maharaja Jin.

Apabila mereka sampai di Jeram Joeng, di situ mereka dikejar oleh maharaja jin tetapi Puteri Kanun tidak gentar lalu melagukan suatu mantera (yang dianggap suatu Bongai juga) lalu menghamburkan segenggam abu dapur yang dibawa di dalam sehelai kain cindai.

Terkena saja abu dapur itu, maharaja jin itu menggeletar ketakutan dan kesakitan. Setelah selesai melagukan mantera (Bongai) itu, maharaja jin itu terperangkap di celah batu di sebelah air terjun. Dikatakan deruan air terjun yang kedengaran hingga ke hari ini adalah bunyi maharaja jin itu mengerang kesakitan.

Dengan terperangkapnya maharaja jin itu, maka selamatlah orang yang selalu lalu lalang di kawasan itu daripada gangguannya.

Begitu juga dengan  Datuk Sabun yang selamat melalui Jeram Joeng itu. Setelah itu, Puteri Kanun pun ghaib manakala Datuk Sabun meneruskan perjalanannya pulang dengan membawa hadiah yang diberikan Puteri Kanun, serta lagu yang dilafaznya.

Kononnya, daripada lagu-lagu terawal yang diiringi seruling dan tetawak itu maka berkembanglah persembahan Bongai di Johol dan sekitarnya hingga ke kawasan-kawasan lain di Negeri Sembilan.

Begitulah kisah mitos Puteri Kanun yang dikaitkan dengan kemunculan lagu-lagu Bongai ini. Selain kisah Puteri Kanun ini, ada juga yang mengatakan Bongai berasal daripada nyanyian Puteri Bongsu dalam Hikayat Malim Deman.

**Kisah di atas dipetik dari buku ‘101 Puteri Dunia Melayu – Sejarah dan Legenda’ terbitan Jabatan Muzium dan Antikuiti.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com