WALAUPUN telah disingkirkan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama dan sebelum itu dipecat selaku Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat, namun Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali terus menyatakan komitmen terhadap perjuangan Pas.
Muncul kali pertama secara langsung dalam Facebook miliknya, malam tadi, Mohd. Khairuddin bagaimanapun tidak mahu mengulas isu pemecatannya.
Dalam video secara langsung berdurasi 13 minit 52 saat itu, Mohd. Khairuddin dipercayai berada di luar negara berdasarkan latar belakang waktu siang, bunyi angin kencang dan gayanya mengenakan jaket tebal.
Menurut Mohd. Khairuddin, soal pemecatannya merupakan hal dalaman parti yang perlu diselesaikan menerusi kaedah Pas.
Beliau turut menyerahkan kepada kepemimpinan Pas untuk menguruskan soal tersebut.
“Ini kali pertama saya bersiaran langsung di Facebook setelah pelbagai isu yang berlaku dalam parti dan perjuangan.
“Ramai meminta respons dan ulasan termasuk media, namun saya masih mengambil sikap kekal tak menjawab atau mengulas tentang apa yang berlaku.
“Saya istiqamah dengan perjuangan Pas dan sabar dengan apa yang berlaku serta belum masa untuk memberi maklum balas,” katanya dalam siaran langsung tersebut.
Baca artikel berkaitan: Mohd. Khairuddin digugurkan pula daripada Majlis Syura Ulama
Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus terus bertekad melaksanakan tanggungjawab memastikan agenda dan keperluan rakyat di kawasannya dapat dilunaskan.
Beliau turut berharap rakyat di Kuala Nerus gembira dan berpuas hati sepanjang sembilan tahun beliau berkhidmat sejak Mei 2013.
“Saya akan terus melaksanakan tugasan saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus pada masa-masa berbaki sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk memastikan segala agenda dapat dilaksanakan dan keperluan rakyat dapat dilunaskan,” jelas beliau.
Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Mohd. Khairuddin disingkirkan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama ekoran masalah disiplin.
Pemecatan itu hadir hanya hampir satu bulan selepas bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu dipecat selaku AJK Pas Pusat.
Mohd. Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi Pas yang dilantik semula sebagai AJK bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz pada 23 November lalu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

