PROGRAM Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) akan memberi tumpuan kepada usaha membantu pelajar B40 yang ahli keluarga belum ada seorang pun pernah menjejakkan kaki ke menara gading.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program digerakkan Ahli Parlimen Parit Sulung yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad adalah julung kali diadakan sempena Karnival Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Keluarga Malaysia di Parit Sulung, hari ini.
Ismail Sabri menyifatkan program itu sebagai unik kerana pelajar akan dibantu diberikan laluan khusus kemasukan ke universiti awam.
Selain itu, kata beliau, pelajar terbabit turut ditawarkan biasiswa, asrama dan diberikan mentoring sehingga berjaya mendapat pekerjaan.
“Menjadi harapan saya agar dengan tahap pendidikan yang baik, kelak akan membawa anak-anak ini keluar daripada kitaran B40 seterusnya dapat berdikari selepas tamat pengajian.
“Kejayaan mereka ini nanti bukan sahaja memberikan motivasi kepada keluarga tetapi juga kepada komuniti setempat.
“Justeru, saya mengambil kesempatan ini mengajak dan menyeru badan-badan korporat di luar sana untuk sama-sama menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan program SULUNG ini,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Lawatan PM bukti hubungan akrab Malaysia-Brunei
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Parit Sulung, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut meminta masyarakat mengambil peluang untuk memanfaatkan pelbagai inisiatif berkaitan peluang kerjaya yang dikendalikan KPT.
Menurut Perdana Menteri, program seperti PENJANA KPT-CAP, PENJANA KPT-PACE, dan GetHired@KPT serta MyFutureJobs akan membantu mengurangkan lagi kadar pengangguran di negara ini ke paras di bawah 4.2 peratus.
“Apa yang pasti, program-program ini adalah berbentuk titik sentuh dan bertujuan untuk menyantuni keperluan denyut nadi rakyat,” jelas beliau.
Memberi contoh, Ismail Sabri berkata seperti program MYFutureJobs, berdasarkan rekod yang ada sebanyak 63,990 jawatan kosong di Johor ditawarkan melalui portal program berkenaan.
“Untuk tempoh karnival ini sahaja, saya difahamkan lebih 3,000 kekosongan jawatan ditawarkan. Justeru, saya menyeru semua yang hadir, untuk mengambil peluang ini dan menguar-uarkan juga kepada saudara-mara di luar sana yang memerlukan pekerjaan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

